4.1 Berhenti Sejenak Di Antara 2 Marhalah
Kita telah terangkan bahawa dakwah mempunyai tiga marhalah:
pengenalan, pembentukan dan pelaksanaan. Setelah kita sentuh marhalah taarif
(pengenalan) dan sebelum memasuki marhalah takwin (peringkat pembentukan) kita
merasa perlu berhenti sejenak untuk meneliti sudut-sudut kejiwaan dan
persediaan perasaan yang mesti ada supaya cita-cita yang ingin dicapai dari
marhalah takwin dan persediaan duat dapat dilahirkan dan diwujudkan di alam
nyata atau dapat direalisasikan di muka bumi.
Sesungguhnya tugas, tanggungjawab dan agungnya cita-cita yang kita hendak bangunkan itu membuatkan kita sentiasa mengambil kira kepentingan menyediakan individu-individu muslim atau seberapa ramai pendokong dakwah yang ikhlas dan layak memikul amanah dan menunaikannya menurut rupa dan bentuk yang lebih sempurna, terutama setelah kita tahu bahawa membangunkan insan adalah penting dan lebih susah daripada membangunkan kilang-kilang.
Sesungguhnya tidak ramai yang layak memikul beban dakwah ini kecuali orang dapat meliputinya dengan segala jurusan, yang sanggup, mampu dan rela mengorbankan diri, harta, waktu dan kesihatannya untuk urusan dakwah dan tugas yang didokongnya. Tidak mungkin akan lahir kesungguhan, ketekunan dan usaha yang sebenarnya kecuali setelah dakwah itu menguasai akal dan fikirannya, sebati dengan jiwa dan hatinya, menjadi darah dan dagingnya, menjadikan semangatnya menyala-nyala dan sukmanya berkobar-kobar untuk merealisasikanya di dalam waqi' al-amri (di dalam kenyataan hidup).
Lantaran al-iman al-amiq bi al-dakwah (iman yang mendalam terhadap dakwah) menjadi dasar yang pertama di dalam mencapai kejayaan. Kita memerlukan jiwa-jiwa yang hidup, yang kuat, yang muda belia, hati-hati yang baharu yang sentiasa berkobar-kobar, rasa cemburu yang sentiasa bernyala-nyala, jiwa-jiwa yang berinisiatif, lincah, segar bugar dan cergas. Kerana Islam menghendaki di dalam hati individu mempunyai sentimen dan perasaan yang mampu membezakan yang benar dan salah. Islam mahu supaya seseorang itu mempunyai kemahuan yang tinggi dan tegas seperti cekap dan tidak mengenal lemah, tidak bertolak ansur membela kebenaran lantas membela dengan segala kekuatan dan ketangkasan. Islam mahu penganutnya mempunyai badan yang sihat sejahtera dan mampu memikul berbagai-bagai tugas dan kewajipan Islam dan sebaikbaiknya, menjadi umat yang baik dan layak membuktikan kemahuan yang baik untuk menolong ke arah kebenaran dan kebaikan.
4.2 Marhalah At-Takwin dan Persediaannya
Sesungguhnya marhalah di'ayah, (penerangan, memperkenalkan,
menggambarkan tentang dakwah dan cara penyampaiannya kepada orang ramai dalam
setiap lapisan masyarakat) jika tidak diiringi dengan marhalah at-takwin
(peringkat pembentukan dan pemilihan para pendokong dan penolong terdiri dari
golongan Ansar dan Hawariyyin) serta persediaan tentera dan mengatur taktik
barisan dari kalangan orang-orang yang diseru, berkemungkinan menyebabkan
segala usaha yang telah dikorbankan di dalam penerangan dan penyebaran dakwah
menjadi sia-sia dan hilang begitu sahaja.
Kesedaran rohani
yang lahir dari marhalah taarif (peringkat pengenalan) tidak boleh dibiarkan
musnah dan padam begitu sahaja, tetapi mesti dibersihkan dan diarahkan ke dalam
jiwa supaya bertindak dan berusaha membuat perubahan dan kemajuan yang sejati
dalam diri sendiri. Medan yang pertama untuk pembentukan dan perubahan bermula
dari dalam diri terlebih dahulu dan benarlah Allah Yang Maha Agung tatkala
berfirman:
"Sesungguhnya
Allah tidak akan merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah apa yang
ada pada diri mereka ". (Ar-Ra'ad:ll)
Ramai di kalangan
muslim yang kita seru pada hari ini telah dilahirkan dan dibesarkan di dalam
masyarakat yang jauh dari hakikat Islam dan intisarinya, satu masyarakat yang
dikuasai oleh adat dan tradisi yang telah rosak, yang telah meresapi jiwa
mereka dan sebati dalam kehidupan mereka. Jadi para pendokong dakwah yang
menyeru manusia ke jalan Allah dan mengajak manusia kepada cara hidup Islam
mestilah memberi perhatian dan usaha yang serius dalam: membersihkan diri
mereka dari segala adat lapuk jahiliah lantas menghiasi diri mereka dengan
adat-adat Islam, akhlak-akhlak Islam dan membentuk hidup manusia menurut acuan
Islam dan cara hidup Islam. "Shibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik
shibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nyalah kami menyembah" (Al-Baqarah:
138)
Perubahan ini
mestilah bermula dari dalam diri yang telah diberi minum dengan akidah tauhid,
mengesakan Allah dan mengecapi halawatul iman (kemanisan iman) dan dapat
dijelmakan pada seluruh anggota jasmani dan menguasai setiap aspek kehidupan.
Marilah kita renungkan alangkah indahnya perumpamaan dan kata-kata yang telah
diucapkan oleh Imam Hassan AlHudhaibhi rahimahullah mengenai pengertian ini
tatkala beliau berkata: "Tegakkanlah daulah
Islam di dalam hatimu supaya dia tegak di atas bumi kamu " .