Islam di Timur telah berjalan di atas dakwah
Islam, telah membangun satu kebudayaan yang tiada tolok bandingnya, kemudian
tidur nyenyak lalu kehilangan mutiara dakwah di dalam hidup manusia. Lantaran
itu mereka kehilangan segala kekuasaan dan segala kehebatannya. Bumi mereka telah
dijajah oleh bangsa-bangsa jahiliah. Kekayaan mereka telah dirampas dan
dirompak. Jihad dan perundangan Islam telah disembunyikan. Lebih dari itu,
akhlak Islam telah disorokkan. Hancur berderailah segala kemuliaan lalu diganti
dengan ananiah (individualistik) dan kekacauan. Mudahlah kekufuran dan
keingkaran mengambil jalannya tanpa rintangan dan halangan. Tetapi Allah Taala
yang Maha Suci telah menyediakan sebab musabab untuk kebangkitan Islam di Timur
itu dari lena, kebangkitan Islam yang baru di zaman baru ini.
Dalam kebangkitan arus Islam yang kuat ini
maka lahirlah 'Jamaah Ikhwanul Muslimin' dan beberapa jamaah Islam di seluruh
dunia terutamanya di dunia Islam. Imam As-Syahid Hassan Al-Banna dengan
Ikhwanul Muslimin melalui jalan yang telah dilalui Rasulullah s.a.w. Alangkah banyaknya
persamaan di antara marhalah-marhalah dakwah yang dihayati oleh Islam di zaman sekarang
dengan marhalah permulaan dakwah Islam di zaman Rasulullah s.a.w. Islam telah
menjadi asing dan dagang dan jahiliah terus berleluasa. Para pendokong dakwah ditindas,
diperkotak-katikkan serta dikepung dari segenap penjuru untuk dihancur
leburkan. Samalah keadaannya dahulu di mana musuh-musuh dakwah Islam dipimpin
oleh golongan musyrikin di Semenanjung Tanah Arab, para penyembah api di negara
besar seperti Parsi (Iran) di sebelah Timur dan kerajaan raksaksa Romawi di
sebelah Barat bersama Yahudi.
Demikian juga halnya musuh-musuh dakwah Islam
di hari ini yang dipimpin oleh golongan komunis di sebelah Timur dan golongan
Kristian dan Zionism dari negara sebelah Barat yang sekular. Jahiliah moden ini
disertai pula oleh boneka-boneka dari kalangan muslimin yang telah diracuni
hati dan fikiran mereka oleh jahiliah moden. Malah mereka lebih kejam dan lebih
sesat dari jahiliah di zaman permulaan dakwah Islam di zaman Muhammad s.a.w.
Ini semua memberi peringatan kepada kita
bahawa muslimin di zaman Rasulullah s.a.w itu sentiasa bertahan dan bersabar
sehinggalah Allah menolong mereka, menghina para pendokong syirik, kufur dan
jahiliah serta mengalahkan mereka. Lalu berkibar dan berkuasalah kalamullah.
Jatuh dan lemahlah kalimah kufur.
Demikianlah yang kita harapkan dan kepadanyalah kita berusaha InsyaAllah. Sesungguhnya kita akan melihat kebangkitan dakwah Islam setelah ia menurun. Pada masa yang sama, budaya materialistik dan jahiliah mula menurun setelah naik. Tanda-tanda yang nyata menjelma di dalam kesedaran Islam yang baru, yang mengambil tempat di hati umat Islam seluruhnya, terutamanya di kalangan pemuda-pemudi Islam. Kebangkitan Islam
kembali semula dan arus dakwah Islam menjalar di kalangan generasi baru di
kalangan putera-puteri Islam untuk menghayati Islam dengan minat yang
sungguh-sungguh dan benar di dalam usaha-usaha Islam, dengan Islam dan untuk Islam.
Tanda-tanda keruntuhan budaya jahiliah yang kafir itu semakin nyata dan terang
apabila kita memerhatikan bagaimana gelombang keruntuhan akhlak melanda
pemuda-pemuda para pendokong budaya kebendaan yang jahiliah itu.
Ini adalah merupakan berita baik dan menggembirakan di mana peralihan pimpinan
manusia akan berlaku. Pimpinan jahiliah yang bertuhankan manusia akan tamat dan
pimpinan dunia akan dikembalikan kepada Islam sekali lagi. Daulah Islam sejagat
akan bangkit kembali dengan izin Allah Taala yang Maha Kuasa supaya dunia berbahagia
dengan agama yang hakiki dan lurus itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan