Wasilah-dan langkah-langkah umum dalam dakwah
tidak berubah, tidak bertukar ganti dan tidak melampaui tiga perkara ini:
1) Iman yang amiq; (Iman yang mendalam).
2) Takwin daqiq; (Pembentukan yang rapi dan teliti)
3) Amal mutawasil; (usaha dan amal yang berterusan).
Dengan wasilah-wasilah inilah, amal dan usaha
yang berterusan tetapi beransur-ansur mewujudkan serta membentuk individu,
rumahtangga dan masyarakat yang muslim. Dari situ dapatlah disediakan dasar dan
asas Islam yang teguh dan kuat untuk menegakkan pemerintahan Islam (daulah
Islam) di sebuah negara umat Islam lalu dicantumkan dengan daulah-daulah Islam
di seluruh dunia untuk membangunkan daulah Islam sedunia iaitu kerajaan Islam
yang merangkumi seluruh dunia Islam yang bersatu di bawah satu Khilafah
Islamiah. Ia bertanggungjawab untuk memimpin seluruh dunia, menjadi guru dunia
dan mengarahkan perjalanannya demi kebahagiaan seluruh manusia dengan ayat-ayat
Allah sehingga tiada lagi fitnah dan agama itu seluruhnya hanya untuk Allah.
"Sehingga tidak ada lagi fitnah dan
(sehingga) agama itu hanya untuk Allah belaka " Al-Baqarah: 193
Sebagaimana berjalannya wasail iman, takwin,
pembentukan dan amal usaha itu, berganding bahu antara satu sama lain, begitu
jugalah setiap langkah awal dalam penyediaan ke arah pembentukan individu
muslim, pembangunan rumahtangga-rumahtangga Islam dan penyebaran dakwah Islam
di tengah-tengah masyarakat manusia, semuanya mestilah berjalan serentak dan
berganding bahu.
Melalui jalan dakwah, tidak sah dan tidak
benar kalau kita mengambil jalan ringkas lalu kita menghadkan wasilah dan
langkah-langkah kita atau kita mengambil sebahagian dengan anggapan bahawa yang
sebahagian itu sudah memenuhi tujuan kita dan dapat menyempurnakan tugas kita. Sesungguhnya
tidak ada iman tanpa amal dan pembentukan. Tidak ada masyarakat tanpa anggota yang
muslim dan rumahtangga-rumahtangga Islam. Merekalah tiang-tiang yang akan membangunkan
pemerintahan Islam.
Sebarang kecuaian atau kegopohan di dalam
mengukuhkan dasar dan memancangkan asas-asas yang teguh dan tiang-tiang yang
kuat itu merupakan satu tindakan yang membahayakan, yang mungkin membawa kepada
keadaan yang terbalik atau songsang. Setiap waktu dan usaha yang dicurahkan
untuk meletakkan asas sebuah bangunan tidak boleh dianggap sia-sia dan tidak
boleh dihentikan selagi belum nampak sebarang hasil di permukaan bumi, kerana
bangunan yang besar memerlukan waktu yang panjang dan usaha yang gigih untuk
menyiapkan asas dan konkritnya. Adakah di sana sesuatu yang lebih besar dari
usaha membangunkan daulah Islam sedunia yang mampu memimpin dunia memandu
seluruh manusia kepada nur dan cahaya Islam yang sempurna dan menyempurnakan
itu ?.
Alangkah indahnya apa yang dikatakan oleh Imam
as-Syahid Hassan Al-Banna tatkala beliau mengarahkan ucapannya kepada golongan
yang gopoh, yang cepat ingin memetik buah dakwah sebelum masak;
"Hai Ikhwanul muslimin terutama yang
gopoh dari kamu. Dengarkanlah daripadaku satu kalimah yang tinggi yang
berkumandang dari atas mimbar ini di dalam muktamar umum ini. Sesungguhnya
jalan kamu ini adalah yang telah digariskan langkah-langkahnya, ditentukan
batas-batasnya dan aku tidak mahu melanggar batas-batas itu. Aku telah yakin
dengannya. Keyakinan yang sebenar-benarnya, bahawa itulah jalan yang paling
selamat untuk mencapai tujuannya.
Ya...
boleh jadi ia satu jalan yang panjang, tetapi di sana tidak ada jalan lain
selain itu. Sifat kelakian tidak akan lahir kecuali dengan keberanian,
ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang serius dan berterusan. Barangsiapa
dari kalangan kamu yang hendak cepat dan gopoh memetik buah sebelum masak atau hendak
memetik hasil sebelum masanya, maka aku tidak bersama dengannya sama sekali dan
lebih baik baginya meninggalkan dakwah ini dan carilah dakwah yang lain.
Barangsiapa yang bersabar bersama aku sehingga berkembang dan membesar benih
itu lalu tumbuh pokoknya, baik buahnya sehingga tiba waktunya untuk dipetik dan
diambil, maka ganjarannya terserahlah kepada Allah semata-mata. Kita dan dia
tidak boleh lari dari dua kebaikan ini. Sama ada kita menang dan berkuasa atau
mati syahid dan berbahagia".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan