Mutiara Hadis

Dari Abu Hurairah ’Abdurrahman bin Shakhr radhiyallohu’anhu, dia berkata: ”Aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda: ” Apa saja yang aku larang bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu maka lakukanlah sesuai kemampuanmu. Sesungguhnya kehancuran umat-umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan menyelisihi nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh).”

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

31 Disember 2012

1.4 Wasilah dan Langkah-langkah

Wasilah-dan langkah-langkah umum dalam dakwah tidak berubah, tidak bertukar ganti dan tidak melampaui tiga perkara ini: 

1) Iman yang amiq; (Iman yang mendalam). 


2) Takwin daqiq; (Pembentukan yang rapi dan teliti) 


3) Amal mutawasil; (usaha dan amal yang berterusan). 


Dengan wasilah-wasilah inilah, amal dan usaha yang berterusan tetapi beransur-ansur mewujudkan serta membentuk individu, rumahtangga dan masyarakat yang muslim. Dari situ dapatlah disediakan dasar dan asas Islam yang teguh dan kuat untuk menegakkan pemerintahan Islam (daulah Islam) di sebuah negara umat Islam lalu dicantumkan dengan daulah-daulah Islam di seluruh dunia untuk membangunkan daulah Islam sedunia iaitu kerajaan Islam yang merangkumi seluruh dunia Islam yang bersatu di bawah satu Khilafah Islamiah. Ia bertanggungjawab untuk memimpin seluruh dunia, menjadi guru dunia dan mengarahkan perjalanannya demi kebahagiaan seluruh manusia dengan ayat-ayat Allah sehingga tiada lagi fitnah dan agama itu seluruhnya hanya untuk Allah. 

"Sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) agama itu hanya untuk Allah belaka " Al-Baqarah: 193

Sebagaimana berjalannya wasail iman, takwin, pembentukan dan amal usaha itu, berganding bahu antara satu sama lain, begitu jugalah setiap langkah awal dalam penyediaan ke arah pembentukan individu muslim, pembangunan rumahtangga-rumahtangga Islam dan penyebaran dakwah Islam di tengah-tengah masyarakat manusia, semuanya mestilah berjalan serentak dan berganding bahu. 

Melalui jalan dakwah, tidak sah dan tidak benar kalau kita mengambil jalan ringkas lalu kita menghadkan wasilah dan langkah-langkah kita atau kita mengambil sebahagian dengan anggapan bahawa yang sebahagian itu sudah memenuhi tujuan kita dan dapat menyempurnakan tugas kita. Sesungguhnya tidak ada iman tanpa amal dan pembentukan. Tidak ada masyarakat tanpa anggota yang muslim dan rumahtangga-rumahtangga Islam. Merekalah tiang-tiang yang akan membangunkan pemerintahan Islam. 

Sebarang kecuaian atau kegopohan di dalam mengukuhkan dasar dan memancangkan asas-asas yang teguh dan tiang-tiang yang kuat itu merupakan satu tindakan yang membahayakan, yang mungkin membawa kepada keadaan yang terbalik atau songsang. Setiap waktu dan usaha yang dicurahkan untuk meletakkan asas sebuah bangunan tidak boleh dianggap sia-sia dan tidak boleh dihentikan selagi belum nampak sebarang hasil di permukaan bumi, kerana bangunan yang besar memerlukan waktu yang panjang dan usaha yang gigih untuk menyiapkan asas dan konkritnya. Adakah di sana sesuatu yang lebih besar dari usaha membangunkan daulah Islam sedunia yang mampu memimpin dunia memandu seluruh manusia kepada nur dan cahaya Islam yang sempurna dan menyempurnakan itu ?. 

Alangkah indahnya apa yang dikatakan oleh Imam as-Syahid Hassan Al-Banna tatkala beliau mengarahkan ucapannya kepada golongan yang gopoh, yang cepat ingin memetik buah dakwah sebelum masak; 

"Hai Ikhwanul muslimin terutama yang gopoh dari kamu. Dengarkanlah daripadaku satu kalimah yang tinggi yang berkumandang dari atas mimbar ini di dalam muktamar umum ini. Sesungguhnya jalan kamu ini adalah yang telah digariskan langkah-langkahnya, ditentukan batas-batasnya dan aku tidak mahu melanggar batas-batas itu. Aku telah yakin dengannya. Keyakinan yang sebenar-benarnya, bahawa itulah jalan yang paling selamat untuk mencapai tujuannya. 

Ya... boleh jadi ia satu jalan yang panjang, tetapi di sana tidak ada jalan lain selain itu. Sifat kelakian tidak akan lahir kecuali dengan keberanian, ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang serius dan berterusan. Barangsiapa dari kalangan kamu yang hendak cepat dan gopoh memetik buah sebelum masak atau hendak memetik hasil sebelum masanya, maka aku tidak bersama dengannya sama sekali dan lebih baik baginya meninggalkan dakwah ini dan carilah dakwah yang lain. Barangsiapa yang bersabar bersama aku sehingga berkembang dan membesar benih itu lalu tumbuh pokoknya, baik buahnya sehingga tiba waktunya untuk dipetik dan diambil, maka ganjarannya terserahlah kepada Allah semata-mata. Kita dan dia tidak boleh lari dari dua kebaikan ini. Sama ada kita menang dan berkuasa atau mati syahid dan berbahagia".

30 Disember 2012

1.3 Inilah Marhalah dari Jalan Dakwah

Islam di Timur telah berjalan di atas dakwah Islam, telah membangun satu kebudayaan yang tiada tolok bandingnya, kemudian tidur nyenyak lalu kehilangan mutiara dakwah di dalam hidup manusia. Lantaran itu mereka kehilangan segala kekuasaan dan segala kehebatannya. Bumi mereka telah dijajah oleh bangsa-bangsa jahiliah. Kekayaan mereka telah dirampas dan dirompak. Jihad dan perundangan Islam telah disembunyikan. Lebih dari itu, akhlak Islam telah disorokkan. Hancur berderailah segala kemuliaan lalu diganti dengan ananiah (individualistik) dan kekacauan. Mudahlah kekufuran dan keingkaran mengambil jalannya tanpa rintangan dan halangan. Tetapi Allah Taala yang Maha Suci telah menyediakan sebab musabab untuk kebangkitan Islam di Timur itu dari lena, kebangkitan Islam yang baru di zaman baru ini.

Dalam kebangkitan arus Islam yang kuat ini maka lahirlah 'Jamaah Ikhwanul Muslimin' dan beberapa jamaah Islam di seluruh dunia terutamanya di dunia Islam. Imam As-Syahid Hassan Al-Banna dengan Ikhwanul Muslimin melalui jalan yang telah dilalui Rasulullah s.a.w. Alangkah banyaknya persamaan di antara marhalah-marhalah dakwah yang dihayati oleh Islam di zaman sekarang dengan marhalah permulaan dakwah Islam di zaman Rasulullah s.a.w. Islam telah menjadi asing dan dagang dan jahiliah terus berleluasa. Para pendokong dakwah ditindas, diperkotak-katikkan serta dikepung dari segenap penjuru untuk dihancur leburkan. Samalah keadaannya dahulu di mana musuh-musuh dakwah Islam dipimpin oleh golongan musyrikin di Semenanjung Tanah Arab, para penyembah api di negara besar seperti Parsi (Iran) di sebelah Timur dan kerajaan raksaksa Romawi di sebelah Barat bersama Yahudi. 

Demikian juga halnya musuh-musuh dakwah Islam di hari ini yang dipimpin oleh golongan komunis di sebelah Timur dan golongan Kristian dan Zionism dari negara sebelah Barat yang sekular. Jahiliah moden ini disertai pula oleh boneka-boneka dari kalangan muslimin yang telah diracuni hati dan fikiran mereka oleh jahiliah moden. Malah mereka lebih kejam dan lebih sesat dari jahiliah di zaman permulaan dakwah Islam di zaman Muhammad s.a.w.

Ini semua memberi peringatan kepada kita bahawa muslimin di zaman Rasulullah s.a.w itu sentiasa bertahan dan bersabar sehinggalah Allah menolong mereka, menghina para pendokong syirik, kufur dan jahiliah serta mengalahkan mereka. Lalu berkibar dan berkuasalah kalamullah. Jatuh dan lemahlah kalimah kufur.

Demikianlah yang kita harapkan dan kepadanyalah kita berusaha InsyaAllah. Sesungguhnya kita akan melihat kebangkitan dakwah Islam setelah ia menurun. Pada masa yang sama, budaya materialistik dan jahiliah mula menurun setelah naik. Tanda-tanda yang nyata menjelma di dalam kesedaran Islam yang baru, yang mengambil tempat di hati umat Islam seluruhnya, terutamanya di kalangan pemuda-pemudi Islam. Kebangkitan Islam kembali semula dan arus dakwah Islam menjalar di kalangan generasi baru di kalangan putera-puteri Islam untuk menghayati Islam dengan minat yang sungguh-sungguh dan benar di dalam usaha-usaha Islam, dengan Islam dan untuk Islam. Tanda-tanda keruntuhan budaya jahiliah yang kafir itu semakin nyata dan terang apabila kita memerhatikan bagaimana gelombang keruntuhan akhlak melanda pemuda-pemuda para pendokong budaya kebendaan yang jahiliah itu. 

Ini adalah merupakan berita baik dan menggembirakan di mana peralihan pimpinan manusia akan berlaku. Pimpinan jahiliah yang bertuhankan manusia akan tamat dan pimpinan dunia akan dikembalikan kepada Islam sekali lagi. Daulah Islam sejagat akan bangkit kembali dengan izin Allah Taala yang Maha Kuasa supaya dunia berbahagia dengan agama yang hakiki dan lurus itu.

29 Disember 2012

1.1 Tabiat Jalan Dakwah

"Aliif Laam Miim. Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji. Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka. Lantaran itu Allah mesti mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang berdusta”. Al-Ankabut: 1-3

Jalan dakwah tidak ditaburi dengan bunga-bunga, tetapi merupakan satu jalan yang susah dan panjang. Kerana sesungguhnya antara yang hak dengan batil ada pertentangan yang nyata. Ia memerlukan kesabaran dan ketekunan memikul bebanan yang berat. Ia memerlukan kemurahan hati, pemberian dan pengorbanan tanpa mengharapkan hasil yang segera tanpa putus asa dan  putus harapan. Yang diperlukan ialah usaha dan kerja yang berterusan dan hasilnya terserah kepada Allah di waktu yang dikehendakiNya.


Mungkin anda tidak akan dapat melihat natijah serta hasilnya ketika anda masih hidup. Sesungguhnya kita hanya disuruh beramal dan berusaha, tidak disuruh melihat hasil dan buahnya. Sesungguhnya apa yang akan ditemui oleh para duat di jalan Allah adalah gangguan dan tekanan dari golongan taghut dan musuh-musuh Allah yang mahu menghapuskan mereka, memusnahkan dakwah mereka atau menghalang mereka dari berdakwah. Itu adalah lumrah yang telah berlaku berulang kali di zaman ini. Semuanya didorong oleh rasa takut golongan taghut. Mereka takut kuasa mereka yang berdiri di atas dasar kebatilan akan musnah apabila yang hak bangun dan tegak untuk menghapuskan kebatilan.


"Sebenarnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil, lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta merta yang batil itu lenyap."Al-Anbiyaa': 18


Bagi menghalakan terkaman dan cengkaman kuku besi mereka ke atas dakwah al-hak dan para pendokong dakwah, mereka terlebih dahulu akan mereka-reka pelbagai tuduhan yang paling keji dan dusta itu kemudianya dilemparkan kepada para pendokong dakwah. Mereka gambarkan kepada manusia bahawa para pendokong dakwah adalah musuh negara dan musuh orang ramai supaya orang ramai bangun menentang mereka seperti apa yang dilakukan oleh Firaun dan para pembesarnya terhadap Nabi Musa.


"Dan berkatalah Firaun (kepada pembesar-pembesarnya): Biarlah aku membunuh Musa dan hendaklah dia memohon kepada Tuhannya, kerana sesungguhnya aku khuatir dia akan menukar agamamu atau menimbulkan kerosakan dimuka bumi".Al-Mukmin: 26


Subhanallah, Maha Suci Allah. Demikianlah sikap Firaun dan pembesar-pembesarnya, sikap pengikut-pengikut Firaun di zaman itu ataupun di zaman ini. Nabi Musa dituduh sebagai perosak dan Firaun dianggap sebagai pembela bangsa dan memelihara kepentingannya. Pembesar-pembesar Firaun menghasut Firaun supaya menentang Musa dan kaumnya serta menakut-nakutkan Firaun akan perbuatan Musa. Lalu Firaun menenangkan fikiran mereka dengan menyatakan bahawa dia akan mengawasi Musa: 


"Berkatalah pembesar-pembesar dari kaum Firaun (kepada Firaun): Apakah kamu akan membiarkan Musa dan kaumnya untuk membuat kerosakan di negeri ini (Mesir) dan meninggalkan kamu serta tuhan-tuhanmu?. Firaun menjawab : Akan kita bunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, sesungguhnya kita berkuasa penuh ke atas mereka". Al-A'raaf: 127


1.2 Balasan Baik Bagi Orang-orang Yang Bertaqwa



Namun, semua itu tidak melemahkan iman Musa dan kaumnya. Musa mewasiatkan kepada mereka supaya bersabar dan memohon pertolongan dari Allah s.w.t. dan menggembirakan mereka serta menenangkan hati mereka dengan mengingatkan bahawa bumi ini kepunyaan Allah. Dia pasti akan mempusakakannya kepada hamba-hambanya yang bertakwa. 

"Musa berkata kepada kaumnya: Mohonlah pertolongan dari Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, dipuskakannya kepada sesiapa yang dikhendakiNya dari hamba-hambaNya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa" Al-A'raaf: 128 

Jadi jalan dakwah, walau bagaimana pun susahnya, deritanya dan pahit akibatnya, tetapi terjamin hasilnya. "Kami selalu berkewajipan menolong orang-orang yang beriman " Ar-Rum: 17

Bab 1: Penjelasan Umum Mengenai Jalan Ini (Hala Tuju)

Dakwah Ikhwanul Muslimin merupakan satu suara dakwah dari siri dakwah dan seruan Rasullah s.a.w. yang pertama, yang tersemat kukuh di hati mukminin dan berulang kali menjadi sebutan di lidah mereka. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menanam keimanan di hati umat Islam supaya mengamalkannya dalam setiap kegiatan hidup mereka, supaya hati-hati mereka berpadu di atasnya. Sekiranya mereka dapat berbuat demikian Allah akan menolong dan membantu mereka serta menunjukkan mereka jalan yang benar dan lurus. Marilah kita beriman dan beramal. Marilah kita berkasih sayang dan bersaudara. 

Hala Tuju: Inilah setinggi-tinggi hala tuju yang kita harus berusaha kepadanya. Lantaran itu, Allahlah tujuan kita. Tidak ada suatu yang kita tuju kecuali Allah. Kita beriman kepadaNya. Kita melihat segala sesuatu untuk Dia di dalam hidup kita. Kita beribadah kepadaNya dengan sepenuh hati. Kita mencari keredhaanNya dalam setiap usaha kita dari sekecil-kecil perkara hingga kepada sebesar-besarnya dalam setiap kegiatan hidup kita dengan penuh ketulusan dan keikhlasan yang sempurna serta benar-benar yakin bahawa disitulah terletaknya kebahagiaan yang sejati, hidayah yang hakiki dan kejayaan yang sebenar. 

"Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu " AzZaariyat: 50 

Tugas dan Kepentingannya adalah besar dan agung iaitu memimpin dunia, mengajar seluruh manusia kepada sistem Islam, cara hidup Islam dan ajaran yang baik di mana manusia tidak mungkin bahagia tanpanya. Tugas ini bukan tugas juz 'iah, bukan separuh-separuh dan bukan sebahagian-bahagian. Bukan hanya untuk mencapai tujuan-tujuan terbatas di dalam jurusan politik, sosial dan ekonomi sahaja. Bukan juga hanya untuk satu tempat atau satu daerah tertentu. Bukan juga terbatas kepada satu bangsa dan tanahair yang tertentu. Tetapi ia satu tugas agung yang meliputi setiap aspek kehidupan demi kebaikan yang paling sempurna dan paling bahagia kepada seluruh manusia dan manusia sejagat, bahkan bagi seluruh makhluk Allah kerana sesungguhnya Rasulullah itu diutus untuk membawa rahmat ke seluruh alam. 

Balasannya sangatlah besar. Selain daripadanya adalah kecil belaka. Segala yang ada dalam kehidupan kita di dunia, semua nikmat, harta benda, kekuasaan, kesenangan dan kemewahan semuanya kecil belaka. Balasannya di sana adalah syurga yang seluas langit dan bumi. Di dalamnya disediakan apa yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas oleh fikiran. Di sana kita akan bersama dengan para anbiya', para siddiqin, para syuhada' dan para salihin kerana merekalah sebaik-baik sahabat. Kita akan terselamat dari azab neraka yang bahan bakarnya terdiri dari batu dan manusia. Kemuncak dari itu semua ialah 'keredhaan Allah'

"Dan keredhaan Allah adalah lebih benar, itu adalah keberuntungan yang besar.” At Taubah :72

27 Disember 2012

Muqaddimah Kitab Jalan Dakwah Oleh Mustafa Masyhur

Sesungguhnya segala puji bagi Allah Tuhan yang memelihara sekelian alam. Kita memuji Dia, meminta pertolongan kepadaNya, memohon ampun kepadaNya, dan kita meminta perlindungan kepada Allah s.w.t. dari segenap kejahatan diri kita dan dari segala keburukan usaha kita. 

Barangsiapa diberi hidayah oleh Allah s.w.t. maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang disesatkan oleh Allah s.w.t., maka tidak siapapun dapat memberi hidayah kepadanya. Aku mengaku bahawasanya Muhammad (s.a.w) itu hambaNya dan pesuruhNya. Sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah firman Allah s.w.t. dan sebaik-sebaik hidayah ialah hidayah Muhammad s.a.w.. Sejahat-jahat perkara ialah perkara yang direka-reka di dalam agama dan setiap rekaan adalah bid'ah dan tiap-tiap bid'ah adalah kesesatan dan tiap-tiap kesesatan tempatnya di dalam neraka. 

Aku tidak dapat menghitung pujian kepada Engkau Ya Allah. Engkau sebagaimana pujianMu kepada diriMu, perkasalah perlindunganMu, besarlah PujianMu, dan tidak ada Tuhan kecuali Engkau. Wahai yang telah memberi nikmat Islam kepada aku dan itulah sebaik-baik nikmat. Engkau memberi kurnia kepadaku tatkala aku masih muda hingga dapat mengenali Jamaah Ikhwanul Muslimin. Lantas aku menyertainya dan berjalan di atas jalan dakwah. Engkau memberi nikmat kepadaku untuk merasai kehidupan sezaman dengan pengasas al Ikhwan al Muslimin al Imam as Syahid Hassan al Banna (r.a). Walaupun di dalam jangka masa hanya lebih kurang sepuluh tahun sebelum beliau menemui Allah s.w.t. sebagai syahid, namun aku telah mendapat faedah yang banyak daripadanya. 

Engkau telah memberi nikmat kepadaku dan memuliakan aku dengan bekerjasama dengan angkatan Islam tatkala mereka terdedah kepada gangguan, bencana dan ujian. Engkau mengurniakan kepadaku kesabaran dan ketahanan dan Engkau menolong aku meneruskan perjalanan ini di atas jalan dakwah tanpa penyelewengan dan pertukaran. Semuanya itu adalah limpah kurnia, kemuliaan dan rahmat daripadaMu. Aku memohon tambahan lagi kepada Engkau daripada yang demikian supaya Engkau menyempurnakan nikmatMu kepadaku dan kepada saudara-saudara aku di atas jalan dakwah dengan Husnul Khatimah (kesudahan yang baik), supaya Engkau mengurniakan syahid di jalanMu dan memasukkan kami di dalam Jannatul Firdaus yang tertinggi, bersama-sama dengan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka dari kalangan para nabi-nabi, siddiqin, para syuhada' dan salihin. Merekalah sebaik-baik kawan.

Sesungguhnya musuh-musuh Allah s.w.t. telah membuat konspirasi terhadap dakwah ini. Mereka bersatu membuat pakatan untuk membinasakan generasi-generasi yang baru muncul. Mereka menangkap, memenjara, menyiksa dan membunuh para pendukung dakwah. Musuh-musuh Allah s.w.t. ini juga merampas semua buku-buku, majalah dan risalah yang berkaitan dengan jamaah ini. Mereka lemparkan pelbagai tuduhan palsu terhadap jamaah ini dengan tujuan memutuskan hubungan antara generasi-generasi muda dengan gerakan Islam. Biar generasi baru itu menjadi sesat dan hilang pedoman di tengah-tengah kemelut arus dengan pelbagai ideologi duniawi lantas tidak mengenali jalan kepada Allah s.w.t.. 

Di satu sudut lain pula, mereka bercita-cita untuk mengeringkan sumber-sumber bekalan bagi gerakan Islam. Meraka mahu supaya gerakan Islam ini ketandusan anggota-anggota baru dan darah baru yang diperlukan untuk meneruskan perjuangannya. Mereka sangka dengan berlalunya generasi kami ini akan terhentilah harakah Islam bersamanya. Tidak dapat diperbaharui lagi dan diteruskan perjuangannya kerana jauhnya para pemuda daripadanya dan kerana kejahilan mereka tentang gerakan Islam yang lalu. Mereka membuat tipu daya dan Allah s.w.t. membalas tipu daya mereka dan Allah s.w.t. adalah sebaik-baik pembalas tipu daya itu. Sesungguh Allah s.w.t. telah menghancurkan putar belit dan tipu daya mereka. Mereka tidak berjaya menghalang cahaya Allah s.w.t. dari sampai kepada generasi hari ini lalu menyinari dan memandu mereka ke jalan dakwah. 

Para pemuda Islam berlumba-lumba mengadap dakwah Islam dengan penuh kesedaran, sikap yang benar dan ikhlas disertai dengan langkah-langkah yang tetap dan tegas di dalam jalan dakwah. Mereka tidak gentar dan tidak lari dengan apa yang telah didengar, dibaca atau dilihat oleh mereka tentang gangguan dan penindasan yang menimpa saudara-saudara mereka yang lalu di jalan dakwah sebelum mereka. Para pendukung dakwah sebelum mereka telah diganggu dan disakiti di jalan dakwah. Allah s.w.t. mengurniakan kesabaran kepada mereka, memberi, ketahanan dan ketetapan kepada mereka dan mengambil dari mereka beberapa banyak syuhada'. Tetapi mereka tetap tidak berlembut (berkompromi) menghadapi musuh-musuh Allah s.w.t., tidak leka, tidak berubah dan menukar arah. 

Kita merasa cukup gembira melihat bunga yang sedang mekar itu (generasi muda). Kita benar-benar menghargai, menyanjungi dan menyintai mereka dan kita bertanggungjawab terhadap mereka. Kita wajib mengemukakan pengalaman-pemgalaman kita supaya mereka bermula di mana kita telah sampai, supaya sempurnalah percantuman di antara dua generasi. Generasi yang telah tua dan generasi yang baru muncul. Kelak diharapkan mereka mewarisi amanah ini secara keseluruhan, kemurniaanya dan iltizam dengan kitab Allah s.w.t. serta sunnah Rasullah s.a.w. juga sunnah salafussoleh r.a. 

Bertitik tolak dari kesedaran tanggungjawab terhadap para pemuda Islam ini, saya pun mula menulis rencana-rencana mengenai Fiqh ad-Dakwah. Ini merupakan rencana yang pertama diterbitkan dalam Majalah Ad-Dakwah, Bilangan (7) yang terbit pada awal Muharram tahun 1397 Hijriah, bersamaan dengan Disember 1976. Rencana terakhir terbit di muka 21 dalam bilangan (29) yang terbit pada awal Zulkaedah tahun 1393 Hijriah bersamaan dengan Oktober 1978. 

Sewaktu saya menulis rencana-rencana ini, saya sering menemui para pemuda Islam supaya saya dapat mendengar dari mereka dan mereka dapat mendengar dari saya. Supaya saya dapat mengetahui apa yang berlegar di fikiran mereka yang penuh dengan pelbagai idea dan konsep serta gambaran terhadap amal (usaha) dan harakah. Kemudian saya mengambilnya untuk dibersihkan (tazkiyah) atau diperbetulkan berpandukan pengalaman yang telah saya perolehi sepanjang penglibatan saya di dalam dakwah. Saya tidak berani mengaku yang saya terpelihara dari kesalahan, tetapi saya sentiasa mengadap kepada Allah s.w.t. ketika menulis rencana ini supaya Dia memberi hidayah menepati apa yang benar dan menjauhkan saya dari kegelinciran dan menjadikan kerja ini ikhlas kerana Allah s.w.t. semata-mata. 

Semasa saya menulis mukadimah ini, saya telah selesai menulis rangkaian yang terakhir untuk diterbitkan semuanya di dalam sebuah buku bagi memenuhi harapan kebanyakan pembaca. Saya memohon kepada Allah s.w.t. supaya buku ini berfaedah kepada para pemuda Islam di serata tempat. Saya memohon kepada Allah s.w.t. supaya mengampuni segala kesalahan dan kekurangan yang ada di dalam buku ini dan memberi ganjaran baik kepada saya kerana taufikNya kepada saya dalam melakukan usaha baik ini. Di dalam usaha ini, saya lebih suka jika buku ini lahir menurut bentuk asalnya seperti di dalam majalah Ad Dakwah dengan sedikit saringan. Semoga dengan cara itu ia dapat mengingatkan kita dengan masa dan suasana saya menulisnya ketika itu. 

Akhir sekali saya berharap supaya para pembaca tidak melupakan saya apabila mereka berdoa kepada Allah s.w.t. semoga ia memberi faedah kepada saya di dunia dan akhirat. Semoga Allah s.w.t. mengumpulkan kita bersama mereka semuanya di atas jalan dakwah di dalam Jannatul Na'im dan mengurniakan syahadah (syahid) pada jalanNya. Wahai Tuhanku terimalah. Amin. 

 Mustafa Masyhur