Mutiara Hadis

Dari Abu Hurairah ’Abdurrahman bin Shakhr radhiyallohu’anhu, dia berkata: ”Aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda: ” Apa saja yang aku larang bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu maka lakukanlah sesuai kemampuanmu. Sesungguhnya kehancuran umat-umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan menyelisihi nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh).”

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

27 Disember 2010

Persediaan Pemuda Islam

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini klik sini bahawa peranan pemuda Islam ialah peranan mengubah, iaitu suatu peranan yang amat sukar dan berat. Maka sewajarnya persediaan kita juga hendaklah sesuai dengan besarnya tanggungjawab dan mas’uliyah tersebut, serta betapa bahayanya atau risiko yang akan dihadapi oleh kita. Skop persediaan asas bagi pemuda-pemuda Islam sebelum diperincikan adalah seperti berikut:


1- Hendaklah persediaan itu satu persediaan yang menyempurnakan, dalam erti kata lain, ianya hendaklah merangkumi semua sudut persediaan, dari segi pemikiran, kejiwaan, pergerakan dan sebagainya.


Persediaan itu tidak hanya tertumpu kepada pemikiran semata-mata, atau kerohanian semata-mata, atau pergerakan politik semata-mata, tetapi ia hendaklah menitik beratkan semua sudut sahsiah supaya menjadi sahsiah Islamiyyah yang sempurna yang mampu bertahan menghadapi cabaran serta berterusan untuk mencapai matlamat.


2- Persediaan yang seimbang, iaitu dengan menitikberatkan setiap sudut dengan kadar yang sepatutnya bukan berlebihan dan tidak pula berkurangan. Sekiranya melebihkan perhatian kepada sesuatu sudut akan mengurangkan perhatian kepada sudut yang lain. Hal ini akan membawa kepada keburukan dan menghilangkan keseimbangan sahsiah Islam.


3- Persediaan itu hendaklah praktikal di mana ia tidak seharusnya dalam bentuk teori sahaja, tetapi hendaklah bergantung kepada uslub dan method 'tatbiqi' (amali) dalam usaha pembentukan (takwin) dan persediaan, juga untuk mewujudkan contoh baik yang bergerak. Ini bererti persediaan ini ialah melalui harakah dan amal, bukannya melalui 'maui'zah' (nasihat) dan pelajaran.


Melaksanakan perkara-perkara utama yang asas ini dalam usaha penyediaan, membantu untuk mewujudkan sahsiah yang mantap, tidak kabur atau pincang, tidak pula ekstrim dan tidak juga tarakhus (memudah-mudahkan) atau terlalu bertolak ansur. Inilah sahsiah yang diinginkan oleh Islam hari ini dalam proses perubahan.






Bentuk manhaj Bagi Persediaan Pemuda Islam


Tiga perkara asas persediaan ini:


1- Persediaan dari segi pemikiran.
2- Persediaan dari segi kejiwaan.
3- Persediaan dari segi haraki (Pergerakan).


1- Persediaan dari segi Pemikiran


Yang dimaksudkan dengan persediaan ini adalah membentuk aqliyah Islamiyyah (berfikir secara Islam) bagi pemuda-pemuda Islam. Apakah 'thaqafah' (pengetahuan) yang diperlukan?


Bagi pemuda Islam, kita mestilah berfikir secara sempurna untuk melakukan perubahan yang diinginkan Islam iaitu:


A) Thaqafah Islamiyyah (pengetahuan Islam) iaitu kita wajib 
mendalami pengetahuan Islam, di mana pengetahuan yang asli murni terpusat pada usul, dasar dan kaedah. Ia sepatutnya diterapkan pada awal kehidupan supaya kita dapat membina kehidupan di atasnya, dan juga sebagai alat untuk menarik orang lain kepadanya. Sesungguhnya orang yang tidak memiliki pengetahuan itu tidak mampu memberi.


Bagi membentuk thaqafah Islamiyyah ini, kita semestinya mempelajari ilmu-ilmu berikut:


- Al-Quran dan tafsirnya,
- as-Sunnah dan ulumnya,
- as- Sirah an-Nabawiyah,
- kehidupan para sahabat,
- fiqh dan usul fiqh,
- ilmu Aqidah,
- ilmu Tazkiyah,
- dan sistem-sistem Islam.



"Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan padanya dia difahamkan agama kepadanya."


B) Thaqafah Ammah (Pengetahuan Umum) iaitu pemuda-pemuda Islam memerlukan pengetahuan, ilmu dan pemikiran yang lain bagi membolehkan kita mengkritik dan menghadapi mana-mana penyelewengan. Benarlah sabda Rasulullah saw dalam hadis-hadis:


‘Sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum itu ia aman dari tipuan mereka.’

'Ambillah hikmah itu walau dari bekas manapun ia keluar.'



Bagi membentuk thaqafah umum maka mestilah dipelajari:


Pengetahuan tentang kemanusiaan,sains, pengetahuan tentang realiti dan sejarah.


2- Persediaan dari segi kejiwaan.


Apa yang dimaksudkan ialah, pembentukan kejiwaan secara Islam bagi pemuda Islam. Kejiwaan Islam itu ialah kejiwaan yang menggunakan naluri dan kecenderungan mengikut hukum syara', kejiwaan yang mendapatkan fatwa Islam dan berpegang teguh dengan fatwa itu. Maka ia tidak dikuasai oleh hawa nafsu atau dipimpin oleh syahwat atau kepentingan.


Persediaan kejiwaan ini sama pentingnya dengan merealisasikan persediaan pemikiran dan mengamalkan aqliyah Islamiyyah itu.


Persediaan kejiwaan ialah menjinakkan jiwa untuk terikat dengan syarak dalam memenuhi kehendak dan kemahuan. Ini boleh dicapai dengan memahami hukum syarak bagi had-had pemenuhan itu. Kemudian menjinakkan jiwa untuk menunaikan tanggungjawab ibadah dan tarbawiyah (pendidikan tarbiah).


Persediaan kejiwaan merupakan tulang belakang kepada manhaj tarbiyyah. Ianya merupakan hati yang berdegup dan "dinamo" yang menggerakkan segala enjinnya. Wajiblah bagi mereka yang bertanggungjawab memberi tarbiah kepada pemuda-pemuda untuk mengetahui bahawa persediaan kejiwaan ini ialah sebagai batu asas dalam pembinaan sahsiah Islamiyyah.


Pemuda Islam pula hendaklah memahami bahawa perhatian berat hendaklah diberi kepada Tazkiyatun-Nafsi (membersihkan diri). Perkara ini hendaklah diberi keutamaan berbanding perkara lain. Kalaulah akal dan jasad memerlukan makanan secukupnya untuk menjalankan peranan secara sempurna, begitulah juga dengan jiwa dan hati, hendaklah diberikan makanan kerana dengan jiwa ia beriman dan dengan hati ia menjadi rabbani.


Oleh itu bagi kita, sejauh manapun pengetahuan yang ada pada kita tidaklah terjamin selagi pembentukannya tidak rabbani, kerana tanpa rabbani, ilmu pengetahuan tidak akan dapat diasaskan ke atas taqwa dan keredhaan Allah swt.


Dari sini dapatlah kita fahami tentang nilai hati yang disebutkan oleh Al-Quran apabila berbicara tentang manusia.


"Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang orang yang mempunyai hati atau akal atau yang menggunakan pendengarannya".(50:37)


"Pada hari yang tidak lagi bermanfaat harta dan anak kecuali mereka yang datang menghadap tuhan dengan hati yang sejahtera".

"Tidak kamu dapat suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul Nya, walaupun mereka itu bapa-bapa mereka, anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka atau kaum kerabat mereka. Mereka itu orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan di hati mereka keimanan dan disokong pula dengan ruh dariNya".


3- Persediaan dari segi haraki:


Apa yang dimaksudkan ialah persediaan pemuda Islam dan latihannya dengan apa yang berhubung dengan sudut harakah secara Islam, serta apa-apa yang berhubung dengan persekitaran dakwah, penyusunan (tarkib) serta masalahnya. Iaitu dengan mengkaji secara lebih baik melalui jalan-jalan ilmiah moden yang boleh kita pegang.


Persediaan haraki ini lebih merupakan latihan (munawarah) yang dilakukan oleh tentera-tentera dalam ujian ketenteraannya sebelum memasuki medan pertempuran yang sebenar. Tentera tanpa latihan sedemikian sudah pasti akan menerima kekalahan. Medan amal Islami, pada hakikatnya adalah medan peperangan dan jihad walaupun lain bentuk persenjataannya.


Pemuda dalam medan dakwah adalah sebagai perajurit di medan perang. Mereka hendaklah dilatih secara praktikal apa yang mereka pelajari sebelum turun ke medan cabaran yang lebih besar dan medan pertentangan hakiki.


Antara perkara yang hendak dijelaskan dalam persediaan haraki ini ialah:


Mengkaji realiti harakah Islam, mengkaji realiti harakah jahiliyah, mengkaji persekitaran dan masyarakat, mengkaji pusat sosial, ekonomi, politik yang menjadi cita-cita massa, mengkaji ilmu sains percubaan dan akhirnya melatih perkara berikut:


- Melatih kita mentaati dan beribadat kepada Allah: iaitu 
sembahyang berjemaah, puasa, haji, menghadiri majlis-majlis ilmu, zikir, mengingati mati serta mengikuti sunnah dan memperkukuh hubungan dengan kitab Allah baik dari segi bacaan, hafalan, tafsiran dan iltizam dengan sunnah Rasulullah dan sunnah khulafa' Rasyidun.


- Melatih kita dengan uslub (gaya) dakwah seperti Uslub Taujih 
dan Irsyad (pengarahan dan pengajaran), uslub perbincangan secara objektif dan Uslub Targhib (penggalakan) dan Tarhib (amaran) juga uslub penceritaan.


- Melatih kita dalam soal tanzim (organisasi), perencanaan, pentadbiran, kepimpinan dan segala tanggungjawab (Masuliah).


- Melatih kita menanggung kesusahan, menemui kepayahan dan menghadapi bahaya untuk memperkuatkan kecekalan kita, kesabaran, dan mengentalkan kemahuan kita sehingga tidak terjadi seperti kata maksud syair:


Hembusan bayu melukakan pipi,
Sentuhan sutera melukakan jari.



Akhir kata, peranan pemuda Islam hari ini ialah suatu peranan dan tanggungjawab yang berat, jalannya penuh dengan onak dan duri. Kembalilah kepada Al Quran dan As Sunnah untuk berbahagia didunia dan diakhirat.


Wallahualam..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan