Mutiara Hadis

Dari Abu Hurairah ’Abdurrahman bin Shakhr radhiyallohu’anhu, dia berkata: ”Aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda: ” Apa saja yang aku larang bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu maka lakukanlah sesuai kemampuanmu. Sesungguhnya kehancuran umat-umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan menyelisihi nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh).”

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

30 Disember 2012

1.3 Inilah Marhalah dari Jalan Dakwah

Islam di Timur telah berjalan di atas dakwah Islam, telah membangun satu kebudayaan yang tiada tolok bandingnya, kemudian tidur nyenyak lalu kehilangan mutiara dakwah di dalam hidup manusia. Lantaran itu mereka kehilangan segala kekuasaan dan segala kehebatannya. Bumi mereka telah dijajah oleh bangsa-bangsa jahiliah. Kekayaan mereka telah dirampas dan dirompak. Jihad dan perundangan Islam telah disembunyikan. Lebih dari itu, akhlak Islam telah disorokkan. Hancur berderailah segala kemuliaan lalu diganti dengan ananiah (individualistik) dan kekacauan. Mudahlah kekufuran dan keingkaran mengambil jalannya tanpa rintangan dan halangan. Tetapi Allah Taala yang Maha Suci telah menyediakan sebab musabab untuk kebangkitan Islam di Timur itu dari lena, kebangkitan Islam yang baru di zaman baru ini.

Dalam kebangkitan arus Islam yang kuat ini maka lahirlah 'Jamaah Ikhwanul Muslimin' dan beberapa jamaah Islam di seluruh dunia terutamanya di dunia Islam. Imam As-Syahid Hassan Al-Banna dengan Ikhwanul Muslimin melalui jalan yang telah dilalui Rasulullah s.a.w. Alangkah banyaknya persamaan di antara marhalah-marhalah dakwah yang dihayati oleh Islam di zaman sekarang dengan marhalah permulaan dakwah Islam di zaman Rasulullah s.a.w. Islam telah menjadi asing dan dagang dan jahiliah terus berleluasa. Para pendokong dakwah ditindas, diperkotak-katikkan serta dikepung dari segenap penjuru untuk dihancur leburkan. Samalah keadaannya dahulu di mana musuh-musuh dakwah Islam dipimpin oleh golongan musyrikin di Semenanjung Tanah Arab, para penyembah api di negara besar seperti Parsi (Iran) di sebelah Timur dan kerajaan raksaksa Romawi di sebelah Barat bersama Yahudi. 

Demikian juga halnya musuh-musuh dakwah Islam di hari ini yang dipimpin oleh golongan komunis di sebelah Timur dan golongan Kristian dan Zionism dari negara sebelah Barat yang sekular. Jahiliah moden ini disertai pula oleh boneka-boneka dari kalangan muslimin yang telah diracuni hati dan fikiran mereka oleh jahiliah moden. Malah mereka lebih kejam dan lebih sesat dari jahiliah di zaman permulaan dakwah Islam di zaman Muhammad s.a.w.

Ini semua memberi peringatan kepada kita bahawa muslimin di zaman Rasulullah s.a.w itu sentiasa bertahan dan bersabar sehinggalah Allah menolong mereka, menghina para pendokong syirik, kufur dan jahiliah serta mengalahkan mereka. Lalu berkibar dan berkuasalah kalamullah. Jatuh dan lemahlah kalimah kufur.

Demikianlah yang kita harapkan dan kepadanyalah kita berusaha InsyaAllah. Sesungguhnya kita akan melihat kebangkitan dakwah Islam setelah ia menurun. Pada masa yang sama, budaya materialistik dan jahiliah mula menurun setelah naik. Tanda-tanda yang nyata menjelma di dalam kesedaran Islam yang baru, yang mengambil tempat di hati umat Islam seluruhnya, terutamanya di kalangan pemuda-pemudi Islam. Kebangkitan Islam kembali semula dan arus dakwah Islam menjalar di kalangan generasi baru di kalangan putera-puteri Islam untuk menghayati Islam dengan minat yang sungguh-sungguh dan benar di dalam usaha-usaha Islam, dengan Islam dan untuk Islam. Tanda-tanda keruntuhan budaya jahiliah yang kafir itu semakin nyata dan terang apabila kita memerhatikan bagaimana gelombang keruntuhan akhlak melanda pemuda-pemuda para pendokong budaya kebendaan yang jahiliah itu. 

Ini adalah merupakan berita baik dan menggembirakan di mana peralihan pimpinan manusia akan berlaku. Pimpinan jahiliah yang bertuhankan manusia akan tamat dan pimpinan dunia akan dikembalikan kepada Islam sekali lagi. Daulah Islam sejagat akan bangkit kembali dengan izin Allah Taala yang Maha Kuasa supaya dunia berbahagia dengan agama yang hakiki dan lurus itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan