Mutiara Hadis

Dari Abu Hurairah ’Abdurrahman bin Shakhr radhiyallohu’anhu, dia berkata: ”Aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda: ” Apa saja yang aku larang bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu maka lakukanlah sesuai kemampuanmu. Sesungguhnya kehancuran umat-umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan menyelisihi nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh).”

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

22 April 2010

Sultan Abdul Hameed Kedua dan Kejatuhan Khilafah Islam - Muqaddimah Dan Cabaran

Muqaddimah

Sultan Abdul Hameed Kedua telah dilahirkan pada hari Rabu, 21hb. September 1842. Beliau meninggal dunia dalam tahun 1918. Nama penuh beliau adalah Abdul Hameed Khan Kedua bin Abdul Majeed Khan. Beliau adalah anak kedua kepada Sultan Abdul Majeed I (daripada isteri keduanya). Ibunya meninggal dunia semasa beliau berusia tujuh tahun. Abdul Hameed boleh berbahasa Turki, Arab dan Farsi disamping mengetahui bahasa Perancis. Beliau telah mempelajari beberapa buah buku kesusasteraan dan puisi. (Muzakkarat (Diari) As-Sultan Abdul Hameed) Semasa bapanya, Abdul Majeed meninggal dunia, bapa saudaranya, Abdul Aziz menjadi Khalifah. Abdul Aziz tidak kekal lama dalam jawatan Khalifah. Dia telah dipaksa berhenti daripada jawatan khalifah dan selepas itu dibunuh oleh musuh politik Uthmaniah. Penggantinya adalah Sultan Murad, anak kepada Sultan Abdul Aziz, tetapi dia juga disingkirkan daripada jawatan dalam masa yang singkat kerana tidak layak.

Khalifah Abdul Hameed II

Pada 31hb. Ogos 1293Hijriyah (1876) , Sultan Abdul Hameed dilantik menjadi Khalifah menggantikan abangnya, Murad V. Ummat memberikan baiah dan ketaatan kepadanya. Pada masa itu, dia berumur 34 tahun. Dari tahun 1877 hinggalah ke tahun akhir beliau memerintah iaitu 1909, beliau menetap di Istana Yildiz. Abdul Hameed menyedari, seperti beliau jelaskan dalam dairinya, tentang pembunuhan bapa saudaranya, dan pertukaran kepimpinan yang kerap adalah disebabkan adanya komplot menentang Daulah Islamiah (Negara Islam).

Para sejarawan gemar mengkaji dengan amat mendalam tentang perwatakan Abdul Hameed. Dia telah diberikan jawatan kepimpinan sebuah negara besar yang berada dalam keadaan tegang dan genting. Dia telah menghabiskan masa lebih daripada tiga puluh tahun yang penuh dengan komplot dalaman dan luaran, peperangan, revolusi, peristiwa-peristiwa dan perubahan-perubahan yang berterusan. Abdul Hameed meluahkan perasaannya dalam hasil karya dan sajaknya. Di sini dipaparkan contoh sajak tulisannya yang telah diambil daripada buku “Ayahku Abdul Hameed”, hasil karya anak perempuannya, Aishah.

Terjemahan sajaknya,

“Ya Tuhanku aku mengetahui Engkau Yang Maha Esa (Al Aziz) dan tiada lain melainkan Engkau Yang Maha Esa,

Engkaulah Yang Mana Esa dan tiada yang lain

Ya Tuhanku pimpinlah aku dalam masa kepayahan ini

Ya Tuhanku tolonglah aku dalam masa yang genting ini”.

Pelbagai cabaran yang dihadapinya

Masalah pertama yang Abdul Hameed hadapi adalah Midhat Pasha (1822-1885). Terdapat dakwaan bahawa Midhat adalah dari kaum Yahudi Dunnama, sama seperti Mustafa Kamal. Midhat Pasha telah terlibat secara rahsia dalam penyingkiran bapa saudaranya, Abdul Aziz. Tidak lama selepas dilantik sebagai Khalifah, Abdul Hameed diberi kuasa, dia telah melantik Midhat Pasha sebagai Ketua Majlis Menteri kerana Midhat Pasha amat terkenal pada masa itu. Abdul Hameed perlukan jaminan untuk kekal berkuasa. Midhat Pasha adalah gabenor yang cekap tetapi keras kepala orangnya. Midhat juga merupakan seorang Dunama anggota Freemason (Inthilaq, Mei 1994)

Sultan Abdul Aziz telah menjadi Khalifah dalam tahun 1861 dan disingkirkan dalam tahun 1876. Empat hari selepas beliau disingkirkan, beliau telah meninggal dunia. Para sejarawan merasa pasti bahawa beliau mati syahid disebabkan angkara golongan ‘Turki Muda’ yang telah berkumpul sebelum itu untuk membunuhnya dan kemudian membohongi rakyat dengan mengatakan beliau telah membunuh dirinya. Ketika pemerintahan Abdul Aziz, banyak kemajuan telah dicapai. Pasukan tentera Khilafah Usmaniyah membuat persiapan dengan segera untuk menjadi pasukan yang ketiga terkuat di dunia pada masa itu dan kekuatan tentera darat diperkuatkan hingga mencapai 700,000 orang tentera. Tentera Khilafah Usmaniyah menyusun kemunculan persenjataan askar dengan membina banyak sekolah yang penting contohnya sekolah yang mempersiapkan untuk peperangan ofensif dan defensif dan juga sekolah tentera (di peringkat menengah).

Sultan Abdul Aziz juga telah melawat Mesir, Perancis, Britain dan Prussia. Tujuan kunjungan ke Eropah ialah untuk mempengaruhi Perancis supaya berpihak kepada Daulah Usmaniyah dan supaya Perancis tidak berpihak kepada Rusia dan juga bertujuan untuk menghimpunkan negara-negara Eropah untuk menentang Rusia. Pada zamannya juga terbit ‘majalah al-ahkam al-adaliyah” yang dikelolakan oleh Ahmad Jaudat Pasha dan juga dibukanya Terusan Suez. (Sahwatu Al-Rajulal Marredh Au Al-Sultan Abdul Hameed (Kebangkitan Orang Sakit) oleh Dr. Mouaffaq Bany Al-Marjeh)

Tidak lama kemudian, Britain mengusulkan diadakan persidangan di Istanbul yang dihadiri oleh para duta kuasa-kuasa besar dengan tujuan untuk mewujudkan ‘perdamaian’ di rantau Balkan dengan memperkenalkan beberapa cadangan baru . Persidangan itu telah memaksa Khilafah Uthmaniyah untuk melaksanakan beberapa reformasi. Maka, Midhat Pasha telah menjalankan reformasi-reformasi domestik tersebut. Beliau mewujudkan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada 16 orang pegawai awam, 10 orang ulamak dan 2 orang pegawai tentera berpangkat tinggi. Beliau mempertanggungjawabkan kepada jawatankuasa itu tugas untuk merangka perlembagaan negara. Setelah mengharungi pelbagai masalah, jawatankuasa itu akhirnya meluluskan draf perlembagaan yang mendapat inspirasi dari perlembagaan negara Belgium. Ia dikuatkuasakan di bawah tajuk Qanun Assas (iaitu Undang-undang asas) pada 23 Disember. Maka, ia menjadi perlembagaan rasmi negara iaitu perlembagaan negara Belgium dan dengan memberi pertimbangan terhadap beberapa aspek Islam, ia menjadi perlembagaan negara Islam.

Pengisytiharan perintah khas diraja mengenai Qanun Asasi itu dilakukan dalam tahun 1876. Suatu perhimpunan diadakan pada petang hari pengisytiharan itu di kediaman Midhat Pasha bukan untuk membincangkan tentang urusan negara tetapi untuk berpesta minum arak dan mereka yang menghadiri pesta itu membuat bising akibat mabuk. Midhat Pasha juga dalam kemabukan dan beliau memang dikenali sejak zaman mudanya lagi sudah lazim minum arak.(halaman 58, Sahwatu Al-Rajulal Marredh Au Al-Sultan Abdul Hameed (Kebangkitan Orang Sakit) oleh Dr. Mouaffaq Bany Al-Marjeh)

Oleh kerana perlembagaan itu dikira sebagai sistem demokrasi iaitu undang-undang kufur dan sebagai sistem demokrasi yang bercanggah dengan Islam dan oleh kerana undang-undang itu sendiri bertentangan dengan Islam, jika ia dilaksanakan, pelaksanaannya bermakna penghapusan sistem Khilafah dan bererti mewujudkan sebuah negara yang serupa dengan negara Eropah lain seperti Belgium yang mempunyai perlembagaan yang menjadi sumber perlembagaan. Maka, perlembagaan itu tidak dilaksanakan dan Abdul Hameed, para ulamak serta tokoh-tokoh Islam yang lain menentangnya. Khilafah mula mengelak dari melaksanakan perlembagaan itu dan mengelak dari memenuhi desakan kuasa-kuasa besar. (Kaifa Hudimat Khilafah, Abdul Qadim Zallum)

Midhat telah disokong oleh golongan yang berpengaruh dalam Majlis Syura. Dengan bantuan golongan ini, dia telah berjaya meluluskan resolusi untuk berperang menentang Russia. Abdul Hameed tidak dapat menghalang mereka. Sekiranya dia cuba menentang mereka, dia mungkin akan disingkirkan tetapi mereka masih mahu menyalahkan Abdul Hameed terhadap semua kekalahan disebabkan daripada peperangan tersebut yang tidak dirancang dengan baik. Abdul Hameed tidak menginginkan peperangan pada masa tersebut. Daulah Islamiah sangat tenat untuk terlibat dalam peperangan. Abdul Hameed juga dapat mengesan tipu helah dan permusuhan Britain. Beliau juga mendapati bahawa Britain telah menghubungi pegawai-pegawai Khilafah. Midhat Pasha sering berurusan dengan Britain dan beliau adalah orang yang mendalangi dasar untuk bergantung kepada negara-negara Barat.

Konsul British di Beirut menghantar telegram ke London pada 28 Julai 1880 mengatakan, “Risalah-risalah pemberontakan telah tersebar, Midhat Pasha didakwa menjadi puncanya, sementara itu keadaan masih tenang, laporan terperinci akan diposkan”.

Kuasa-kuasa besar khasnya Britain berusaha gigih untuk menghancurkan Khilafah dan mereka berusaha untuk mempastikan pelaksanaan perlembagaan sekular yang didrafkan oleh Midhat Pasha. (Kaifa Hudimat Khilafah, Abdul Qadim Zallum) .Abdul Hameed menggunakan pertelingkahan di antaranya dengan Midhat Pasha untuk mengurangkan populariti Midhat Pasha. Akhirnya dia berjaya melepaskan dirinya daripada belenggu Midhat. Midhat dibicarakan di sebuah taman dalam Istana Yildiz dalam tahun 1881. Beliau telah didakwah kerana mengatur pembunuhan Sulan Abdul Aziz. Ibu Sultan Abdul Aziz turut menjadi saksi dalam perbicaraan itu. Akhirnya, Midhat didapati bersalah dan dipecat dalam bulan Februari 1877. Midhat telah dibuang negeri ke Eropah. Ada sumber yang mengatakan beliau dibuang negeri ke Taif, di selatan Makkah. Rakyat dan ahli politik menyambut baik langkah itu.

Seterusnya Abdul Hamid mengalihkan perhatian terhadap musuh luar negara Daulah Islam Uthmaniah. Melalui kebijaksanaannya, dia telah mampu meramalkan bahawa revolusi komunis akan berlaku di Rusia dan ia akan membuatkan Rusia lebih kuat dan lebih merbahaya. Pada masa itu rantau Balkan yang merupakan sebahagian daripada Daulah Islam Uthmaniah sedang berhadapan dengan dua bahaya iaitu Rusia dan Austria. Abdul Hameed cuba untuk membangkitkan penduduk rantau Balkan dan menyedarkan mereka tentang bahaya yang bakal dihadapi. Dia hampir berjaya membuat perjanjian dengan negeri-negeri Balkan tetapi bila perjanjian mencapai peringkat akhir, empat buah negeri Balkan mengambil keputusan yang berasingan dan mengenepikan Daulah Islam Uthmaniah. Perubahan ini adalah disebabkan pengaruh Barat dan Russia . Dengan bantuan kewangan Barat, dalam tahun 1878 rantau Balkan mendapat ‘kemerdekaan’ (Daulah Islamiyah, Taqiyuddin an-Nabahani).

Abdul Hameed menyedari bahawa komplot untuk memusnahkan Negara Islam Uthmaniah lebih besar daripada yang disangkakan. Ia melibatkan usaha dari dalam dan dari luar Negara Islam. Pada sangkaannya beliau berjaya menghapuskan sepenuhnya ancaman dari dalam selepas menyingkirkan Midhat Pasha dan orang-orangnya tetapi dia berhadapan pula dengan Awni Pasha, Ketua Majlis Para Menteri (Alsadr Alazam ) dan juga salah seorang Ketua Tentera. Kemudian Abdul Hameed mendapati bahawa Awni Pasha mengambil wang dan hadiah daripada Britain dan terlibat dalam penyingkiran Abdul Aziz (bapa saudara Abdul Hameed) telah didedahkan kepada Abdul Hameed.

Awni Pasha cuba mengheret Daulah Islam Uthmaniah ke dalam kancah perang Bosnia tanpa persetujuan Abdul Hameed. Abdul Hameed mengetahui jika peperangan berlaku, Rusia, England, Austria, Hungari, Serbia Montenegro, Itali dan Perancis akan menyerang kerajaan Uthmaniah secara serentak dan memastikan Bosnia dirampas.

Awni Pasha telah memberi maklumat yang salah kepada Abdul Hameed mengenai saiz tentera Uthmaniah di Bosnia. Dia mendakwa bahawa terdapat 200,000 orang askar yang bersiap sedia tetapi apabila Abdul Hameed meminta penjelasan daripada Jeneral yang lain dan mendapati hanya ada 30,000 orang askar, untuk menghadapi lebih 300,000 orang askar musuh. Pada masa itu, rakyat menyukai Awni dan Abdul Hmeed tidak boleh menyingkirkannya daripada jawatan kerana itu akan membahayakan kestabilan dalaman Daulah Islamiah.

Kuasa-kuasa Barat, menyedari bahawa mereka mempunyai kekuatan yang melebihi Khilafah Uthmaniah dengan sokongan daripada empat buah negara Balkan (Romania, Serbia, Montenegro,Austria-Hungari). Akibatnya, Bosnia dan Greek terlepas dan terpisah daripada Daulah Islam Uthmaniah.

Abdul Hameed mendedahkan kesalahan Awni Pasha dan menyingkirkannya. Ummah menerima langkah ini. Mahkamah mendapati bahawa Awni bersalah terhadap dakwaan-dakwaan di dalam komplot menentang Daulah Islam Uthmaniah dan membantu kuasa luar seperti England.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan