Mutiara Hadis

Dari Abu Hurairah ’Abdurrahman bin Shakhr radhiyallohu’anhu, dia berkata: ”Aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda: ” Apa saja yang aku larang bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu maka lakukanlah sesuai kemampuanmu. Sesungguhnya kehancuran umat-umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan menyelisihi nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh).”

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

22 September 2013

3.4 Para Dai'e dan Uslub (Cara)

Untuk merealisasikan cita-cita dalam memperkenalkan dasar dan memperkembangkan dakwah, para dai', sahibud-dakwah mestilah mempunyai sifat-sifat asasi dan mereka mesti beriltizam dengan satu uslub yang sahih dan benar di dalam urusan dakwah mereka. 

Satu dari sifat yang utama dan paling penting kepada pendokong dakwah ialah dia mesti menjadi contoh dan teladan yang baik bagi Islam yang diserukannya. Dia mesti menunaikan segala rukun Islam, mengikuti sunnah dan cara hidup Rasulullah s.a.w., menjauhi segala perkara yang syubhah dan meragukan, menjauhi segala perkara yang haram, sentiasa mengingati Allah dalam setiap perkara yang kecil atau besar. 

Di dalam rumahtangga, ahlinya mestilah beriltizam dengan segala ajaran Islam dan menjaga adab-adabnya. Sesungguhnya keikhlasan pendokong dakwah dan kebulatan hatinya kerana Allah dan bagi dakwah Allah merupakan satu faktor yang sangat penting supaya dakwahnya berjaya menembusi dan menawan hati orang-orang yang diseru lantas mereka dengan senang hati menyambut baik seruan itu. Mereka akan terpesona dengan seruannya jika dilakukan dengan penuh keikhlasan dan tidak dicampur-adukkan dengan tujuan lain atau disadur dengan kepentingan duniawi. Dia bercakap untuk dakwah, berjalan kerana dakwah, hidupnya adalah untuk dakwah, kerana dakwah dan bersama dengan dakwah. 

Muslim yang mendokong dakwah, pertama-tamanya dia mestilah mempunyai pembacaan yang luas, mengikut perkembangan setiap peristiwa dan pergolakan, mengikut segala perkembangan suasana dan situasi serta mengetahui pelbagai ideologi dan aliran pemikiran semasa. Kelak mereka mampu mengemukakan dakwah Islam itu dengan uslub yang baik, dengan cara yang menarik dan menawan hati. Pandai menawan hati manusia dan tidak menyebabkan orang semakin liar. Lantas dia dapat mengemukakan Islam dengan cara yang sebaik-baiknya di tengah ombak dan gelombang kesesatan yang menyesatkan dari setiap penjuru dunia. Dia mesti menerangkan Islam dengan jelas dan mudah difahami tanpa menimbulkan kekusutan. Dia membaiki suasana dan bukan memburukkannya kerana berapa ramai orang yang mengaku sebagai pendakwah yang telah merosakkan Islam dengan keburukan cara berdakwah dan mendatangkan keburukan cara berdakwah dalam Islam dan mendatangkan keburukan kepada Islam dan menyangka bahawa mereka telah melakukan kebaikan. 

"Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan bantahlah mereka dengan yang baik". (An Nahl: 125) 

Ad-da'i ilallah, yang menyeru manusia kepada Islam mesti berusaha memahami taraf dan kedudukan orang yang diseru ke jalan Allah dan berbicara dengan mereka menurut tahap akal dan fikiran mereka kerana ia memudahkan mereka menyahut apa yang diserukan kepada mereka dan mereka tidak jemu mendengar ucapan pendokong dakwah. Ad-dai' ilallah, sahibud-dakwah, mesti mengetahui maksud dan tujuannya. Dia mesti mengetahui apakah yang dikehendaki di dalam setiap langkah yang dilaksanakannya, apa yang dikehendaki apabila dia bertutur dan menulis, apabila dia berehat dan berbicara dan apabila berdamai dan bersengketa 

Apa yang penting dia mesti memulakan dakwahnya dengan menekankan masalah akidah dan iman sebelum dia menyentuh perkara furu'(cabang) atau kewajipan-kewajipan dan bebanan yang wajib dipikul. Akidah itu dimulai dengan beriman kepada Allah sehingga sampai kepada menetapkan bahawa Islam itu adalah satu-satunya cara hidup, satu cara hidup yang lengkap dan sempurna. Bahawasanya berusaha memulakan hidup secara Islam, menghidupkan semula kehidupan Islam dan membangunkan pemerintahan Islam adalah wajib bagi tiap-tiap manusia. Setiap muslim wajib merealisasikannya sehingga semuanya itu menjadi satu kenyataan di muka bumi. Jelaslah akidah Islam merupakan asas pembentukan peribadi muslim dan inilah yang mendorong penganutnya bangkit dan mendokong segala tuntutan dakwah yang khas dan am dengan segala kekuatan dan penuh keazaman, redha dan puas hati. Ad-da'i ila Islam, pendokong dakwah yang menyeru manusia kepada agama Allah, mestilah melaksanakan tugas berdakwah, menyeru manusia ke jalan Allah, kepada Allah tanpa dipengaruhi oleh hasil dan natijah walaupun dia telah memperolehi kejayaan besar di dalam dakwahnya. Dia tidak akan mudah terpedaya apabila Allah memberi kejayaan kepadanya dan lancar lidahnya dengan dakwah lebih-lebih lagi manusia telah datang berkerumun kepadanya kerana mengikuti dakwahnya. Sebaliknya pula dia tidak harus berputus asa dan putus harapan apabila manusia tidak menyahut dan meminati dakwahnya kecuali hanya sebilangan sahaja. Dia tidak akan merasa sedih apabila terdedah kepada gangguan dan penyiksaan dari seteru-seteru Allah. Demikianlah keadaan Rasulullah, demikian juga sikap Rasulullah s.a.w. dan para pendokong dakwah di masa yang lalu. 

Adalah Rasulullah s.a.w menyeru sekelian manusia tanpa membeza-bezakan antara satu pihak dengan pihak yang lain dalam minat dan kesungguhan baginda demi membawa hidayah kepada mereka kerana kasihan kepada mereka dari ditimpa azab neraka. Baginda sentiasa bersabar di atas gangguan dan penyiksaan mereka ke atas baginda malah bersabda pula: "Wahai Tuhanku berilah hidayah kepada kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui"

Adalah Rasulullah s.a.w menyeru sekelian manusia tanpa membeza-bezakan antara satu pihak dengan pihak yang lain dalam minat dan kesungguhan baginda demi membawa hidayah kepada mereka kerana kasihan kepada mereka dari ditimpa azab neraka. Baginda sentiasa bersabar di atas gangguan dan penyiksaan mereka ke atas baginda malah bersabda pula: "Wahai Tuhanku berilah hidayah kepada kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui". Kepada para pendokong dakwah yang menyeru manusia kepada Allah, kita mengingatkan kepada mereka betapa besarnya tugas dan amanah yang mereka dokong dan sesungguhnya mereka dengan keislaman mereka merupakan guru untuk mengajar manusia, untuk mangarahkan manusia dan memimpin mereka kepada agama Allah. Walaupun para pendokong dakwah yang menyeru manusia kepada Allah, memahami Islam dengan kefahaman yang murni, lengkap dan sempurna, beriltizam dengan fikrah ini yang tetap bertahan memikul tugas dan usaha ini merupakan bilangan yang sedikit, tetapi di atas bahu merekalah terletaknya bebanan yang berat ini. Lantaran itu mereka hendaklah mengetahui kedudukan mereka, memandang hina diri mereka dan hendaklah mereka memohon pertolongan dari Allah. Hendaklah mereka bersabar walau bagaimana dahsyat sekalipun gangguan, siksaan, tentangan dan penolakan. Di dalam masalah ini Imam As-Syahid Hassan Al-Banna,, telah memberi arahan kepada Ikhwanul Muslimin dengan berkata: 'Jadilah kamu dengan manusia itu sepohon pokok buah-buahan, mereka melemparnya dengan batu dan dia (pokok) melemparkan mereka dengan buahnya". 

Ya akhi: "Sesungguhnya anda hanya beramal dan berusaha untuk dua tujuan, supaya anda berhasil dan menunaikan kewajipan, maka jika yang pertama terlepas dari diri anda maka yang lain tidak akan luput dari anda"

Itulah sebahagian penerangan yang berkisar tentang marhalah at-taarif (peringkat pengenalan) yang kita kehendaki menjadi penerangan di atas jalan dakwah. Para pendokong dakwah boleh merujuk artikel-artikel Imam As-Syahid dan tulisan-tulisan beberapa penulis muslim untuk mengambil bekalan pengetahuan dan pengalaman yang lebih luas berhubung dengan dakwah dan para da'i (pendokong dakwah).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan