Mutiara Hadis

Dari Abu Hurairah ’Abdurrahman bin Shakhr radhiyallohu’anhu, dia berkata: ”Aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda: ” Apa saja yang aku larang bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu maka lakukanlah sesuai kemampuanmu. Sesungguhnya kehancuran umat-umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan menyelisihi nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh).”

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

19 November 2010

Tanggungjawab Pemuda Islam

Antara peranan kita  sebagai seorang pemuda Islam  seperti yang dinukilkan oleh Abul A'ala Al Maududi dalam  'Tanggungjawab Pemuda Islam Hari Ini' adalah seperti berikut:



1. Mengenal hakikat Islam dengan terperinci, agar kita semua benar-benar menjadi muslim, baik dari segi ilmu pengetahuan mahupun dari segi fikiran serta kita benar-benar menjadi muslim dari segi hati dan perasaan, supaya kita mendapat sebesar-besar habuan daripada kemampuan yang cukup lengkap dan berada di dalam kelengkapan yang pasti untuk melaksanakan kerja kemasyarakatan di zaman sekarang yang sesuai dengan perundangan dan ajaran Islam.


2. Kita juga mestilah segera memperbetulkan budipekerti yang telah menyeleweng, memperbaiki adat yang telah rosak sehingga kita dapat memperlihatkan perkara secara praktikal bagi Islam seperti mana datuk nenek kita telah memperlihatkannya pada masa lampau. Hendaklah kita semua mengetahui bahawa percanggahan antara perkataan dengan amalan itu akan menumbuhkan bibit-bibit nifaq dalam jiwa. Ia akan menghilangkan kepercayaan. Sesungguhnya kejayaan akan bergantung kepada kejujuran dan niat kita, benar di dalam keazaman dan keselarasan di antara amalan kita dengan perkataan kita. Sesungguhnya seseorang yang berkata apa yang ia tidak lakukan akan mendatangkan kemudaratan besar terhadap dakwahnya.


Firman Allah yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman ! Mengapa kamu berkata sesuatu yang kamu tidak lakukan. Besarlah kemurkaan di sisi Allah bahawa kamu berkata sesuatu yang kamu tidak lakukan
( Surah Al-Sof : 2-3 )


3. Janganlah kita merasa sayang untuk mencurahkan segala apa yang kita mampu melalui fikiran dan tenaga bekerja yang Allah kurniakan kepada kita untuk berdakwah. Samaada dengan tulisan atau dengan ucapan.


Hendaklah kita mengkaji asas-asas tamadun barat dan mengkritik serta membezakan di antara asas yang silap dengan yang betul. Kita perlu membebaskan fikiran dan jiwa orang Islam dari meniru orang-orang barat.Kita hendaklah mampu menghancurkan berhala-berhala dan teori-teori barat kerana teori ini telah banyak menipu segolongan orang-orang Islam sejak zaman berzaman.


Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut yang lain pula hendaklah kita bertugas menyusun dan membentangkan undang-undang Islam yang bersangkutan dengan kehidupan manusia dengan cara-cara yang paling munasabah dan mudah dalam mempraktikkannya supaya dapat menarik dan meyakinkan generasi baru bahawa undang-undang Islam itu adalah betul dan baik.


Kita hendaklah mampu meyakinkan mereka bahawa jika mereka mengamalkan sistem Islam mereka bukan sahaja akan maju ke depan, malah mereka akan mendahului bangsa lain dalam semua cabang kehidupan.Sesungguhnya makin luas daerah kegiatan kerja kita dan makin betul dengan manhaj Islam maka makin bertambah banyaklah bilangan pendakwah, bilangan pendokongnya dan bilangan orang yang berpengaruh dengannya di dalam tiap perjuangan hidup. Dan tugas kita ini hendaklah diteruskan untuk jangka masa yang panjang hingga tiba suatu hari, di mana akan lahir kumpulan manusia yang ramai, yang beriman dengan tugas dakwah dan bergabung di bawah panji dakwah Islamiyyah. Kumpulan ini sangat diperlukan untuk mengikat bangunan negara di atas tiang-tiang seri yang berlandaskan Islam.


Termasuk di dalam perkara sia-sia sekiranya kita mengira bahawa perubahan Islam secara lengkap dan sempurna boleh wujud dengan tidak didahuluinya oleh persiapan yang cukup. Jika di takdirkan perkara itu berhasil juga dengan tiada persiapan yang cukup lengkap maka perkara itu tidak akan tahan lama dan terasnya tidak akan bertapak kukuh di bumi.


4. Hendaklah kita gabungkan tiap-tiap orang yang berminat dengan dakwah Islamiyah kepada usrah dan kumpulan kita. Hendaklah kita menyusun orang-orang yang ada di kalangan mereka dalam satu jemaah yang kuat, yang mempunyai disiplin yang kukuh dan mempunyai perlembagaan yang utuh hingga kelemahan dan kelonglaian tidak boleh menyelit dicelah-celah barisan kita.


Sesungguhnya semata-mata membentuk jemaah di kalangan manusia yang telah bersetuju dengan dasar tertentu tanpa ada penyusunan yang licin,kukuh dan segala gerak kerjanya di tolak oleh perasaan taat dan patuh, maka itu adalah pekerjaan yang cacat tidak akan membuahkan natijah.


5. Kita juga mestilah bekerja keras menyebar dakwah dalam kalangan orang-orang awam hingga kita boleh menyingkap kabus kejahilan mereka. Kita jadikanlah mereka itu terang benderang mengenai agama mereka, sehingga mereka dapat membezakan di antara yang buruk dari yang baik.


Demikian juga, kita mesti bekerja keras memperbaiki budi pekerti mereka,meninggikan taraf pemikiran dan fahaman mereka terhadap Islam supaya mereka dapat berdiri tegak dan teguh dalam menghadapi serangan ideologi, seruan kepada maksiat dan kefasikan yang sedang bermaharaja lela di negeri-negari Islam, dengan dibantu dan dokongan dari kerajaan yang telah rosak.


Ini adalah penting kerana :


-Bumi yang rakyatnya telah mempertuhankan syahwat dan kelazatan hidup tidak boleh menjadi bumi yang baik untuk dibangunkan negara Islam,


-Bila lahirnya sikap pura-pura dan merebaknya kejahatan yang menyeluruh dalam kalangan masyarakat umum, mustahillah untuk dibangunkan dasar dan undang-undang Islam di kalangan para pendusta, pengkhianat dan orang-orang fasik. Sejauh mana mereka boleh hidup dengan dasar dan sistem kafir maka sejauh itulah mereka tidak boleh hidup dengan dasar dan sistem Islam.


6. Jangan kita cuba membangunkan dasar-dasar Islam di atas asas yang tidak sihat, di atas tiang seri yang lemah dan di atas tunjang yang bergoyang. Kita mesti bersabar dahulu dalam masalah ini, kerana matlamat yang mahu kita capai itu ialah matlamat yang besar, yang bertujuan membaiki nilai-nilai kemanusiaan, memberikan fahaman kepada manusia dan mengembalikan mereka ke dalam Islam sesudah mereka berada di dalam kemurtadan sejak beberapa lama. Kerja-kerja seperti ini memerlukan keteguhan dan kesabaran dan pemikiran yang matang.


Kita pasti menghayung langkah kedepan dan tiap langkah mesti berwaspada, bijaksana dan berhati-hati. Dan jangan kita terlalu cepat menghayung langkah baru sebelum kita menganalisa natijahnya Adakah langkahan itu berjalan di atas jalan yang telah digariskan, adakah ia memberi natijah yang diharapkan. Antara hakikat yang mesti diterima ialah gopoh gapah itu adalah suatu perkara yang tidak selamat akibatnya.


Contohnya :


- kita menyertai di dalam suatu kementerian yang tidak betul dan tidak beriman dengan dasar-dasar Islam.


- Harapan kita menyertai kementerian itu akan memberi suatu langkah yang membolehkan kita mendekati kepada tujuan-tujuan kita. Tetapi itu adalah perkara yang salah kerana telah dibuktikan bahawa usaha yang seumpama ini tidak akan ;membuahkan natijah yang baik, kerana orang yang memegang teraju pemerintahan, merekalah yang menetapkan polisi pemerintahan dalam dan luar negerinya dan menyelenggarakan polisi pemerintahan itu berdasarkan kepentingan dan nafsu mereka.


Penyertaan kita bersama mereka dengan membawa tujuan yang baik, bersih dan mulia terpaksa berganding bahu dengan mereka dan terpaksa menyesuaikan dengan perjalanan mereka. Ini memberi erti bahawa pada akhirnya kita akan jadi trompet dan alat mainan di tangan mereka, yang boleh mereka lakukan terhadap kita mengikut sesuka hati mereka.


Nasihat Penting dari Al Maududi...


Saudara-saudara yang mulia,


Ingin saya sampaikan nasihat kepada saudara-saudara, iaitu janganlah saudara-saudara menjalankan kerja secara gerakan persatuan sulit (tanpa ada penyebaran umum dakwah) dan janganlah saudara-saudara menggunakan cara kekerasan senjata untuk mengubah suasana yang berlaku. Uslub ini termasuk dalam ertikata gopoh gapah yang tidak akan meninggalkan kesan yang baik.


Janganlah anda cuba-cuba untuk mencari jalan pendek, kerana uslub ini adalah lebih buruk akibatnya dan mendatangkan kemudaratan yang lebih besar daripada jalan yang lain. Sesungguhnya perubahan yang betul dan sihat yang telah dicapai di zaman dahulu, dan akan tercapai juga di zaman mendatang, ialah dengan kerja dakwah yang terus terang seterang matahari diwaktu tengah hari. Oleh itu, anda mesti menyebar dakwah anda dengan cara terus terang. Anda mesti bangun bekerja memperbaiki jiwa dan akal fikiran manusia dengan kegiatan yang seluas mungkin.


Anda mesti menggunakan tenaga manusia untuk sampai kepada tujuan anda yang mulia itu dengan bersenjatakan akhlak yang menarik, nilai yang luhur, budi pekerti yang baik, nasihat yang bagus dan kebijaksanaan yang tinggi. Dan anda mesti menghadapi rintangan yang berbentuk ujian dan kesusahan sebagai pengadapan seorang pahlawan. Inilah jalan yang membolehkan kita melakukan perubahan secara radikal, yang kukuh asasnya, kuat umbinya dan besar pula faedahnya kepada umat yang lemah di hari ini. Riak gelombang semacam ini tidak dapat disekat oleh mana-mana kekuatan musuh.


Saya berani bertegas bahawa umat Islam yang kemudian ini tidak menjadi baik melainkan dengan mengamalkan ajaran yang telah diamalkan oleh umat Islam yang terdahulu. Adapun jika anda bergopoh gapah melakukan perubahan dengan menggunakan cara kekerasan, kemudian anda berjaya sedikit sebanyak dalam perubahan itu, maka kejayaan itu tak ubah seperti angin yang masuk melalui pintu dan keluar melalui jendela.Nasihat ini saya sampaikan kepada setiap orang yang bekerja menyebar dakwah Islamiyyah, kerana ia adalah peringatan bagi orang yang mempunyai hati atau menggunakan pendengarannya sedang ia menyaksi.


Saya memohon kepada Allah supaya ia memperbetulkan kesalahan kita,mengilhamkan hidayah, taufik dan menolong kita dalam usaha meninggikan kalimahnya pada jalan yang Ia redai. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik penolong.


Wasalamu ‘alaikum warah matulllahiwabarakat


Dipetik Dari 'Tanggungjawab Pemuda Islam Hari Ini' oleh Abul A'ala Al Maududi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan