Mutiara Hadis

Dari Abu Hurairah ’Abdurrahman bin Shakhr radhiyallohu’anhu, dia berkata: ”Aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda: ” Apa saja yang aku larang bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu maka lakukanlah sesuai kemampuanmu. Sesungguhnya kehancuran umat-umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan menyelisihi nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh).”

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

07 Januari 2013

2.3 At-Ta'arif (Pengenalan) atau Membicarakan Dakwah

Marhalah ini penting dan asas sebab ia merupakan langkah pertama di dalam perjalanan kita di atas jalan dakwah. Sebarang kesilapan atau penyelewengan yang dilakukan di dalam pengenalan, makrifah dan kefahaman ini akan membawa kepada natijah dan akibat yang buruk dan akan membawa dakwah terpesong jauh dari garisannya. 

"Dan bahawa (yang kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka itulah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana segalajalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa". (Al-An'aam: 153) 

Di zaman Rasulullah s.a.w. Islam telah disempurnakan perkembangannya dan penyampaian menurut bentuknya yang sahih dan benar, bersih dari segala campuran, kekurangan dan penyelewengan. Al-Amin Jibril membawa turun wahyu dari Allah kepada Al-Amin Muhammad s.a.w. lalu baginda menyampaikan Islam itu kepada manusia dengan amanah dan benar. Akhirnya sempurnalah agama itu menurut yang diyakini benar dan suci dari segala saduran. 

Walaupun sepanjang sejarahnya ia sentiasa terdedah kepada pelbagai usaha, tipu daya dan gangguan yang cuba meruntuhkannya, menghapuskannya oleh musuh-musuh Islam atau berupa penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh pelampau-pelampau dari kalangan muslim sendiri, namun demikian Allah tetap memelihara KitabNya (Al-Quran) dan menjaminnya dengan begitu rapi. Di samping itu ramai imam dan ulama yang mulia mengumpulkan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang mulia dan menapisnya dari segala yang asing daripadanya. 

Demi memastikan kita sentiasa berjalan di atas jalan Rasulullah s.a.w. maka wajiblah kita kembali semula memahami Al-Quran, memahami Sunnah Rasulullah s.a.w dan memahami sirah salafussoleh atau angkatan muslimin pertama radhiallahu'anhum dengan menjauhi sungguhsungguh dari segala kesalahan, penyelewengan atau pun dari terpesong. 

Inilah yang benar-benar dikehendaki oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna dan menjadikannya rukun pertama dalam rukun bai' ah. Malah beliau telah menulis untuknya dua puluh dasar sebagai garis panduan yang melingkungi fikrah ini untuk membersihkannya dari segala campuran dan saduran dan menjauhkannya dari segala perselisihan dan perpecahan. Supaya fahaman ini menjadi penolong bagi mengumpulkan muslim di atas jalan dakwah, berusaha untuknya dan beramal baginya di dalam suasana tolong-menolong dan berganding bahu. 

Iradah Allah telah menghendaki agar kefahaman (fikrah) di dalam jamaah Ikhwanul Muslimin ini terdedah kepada gangguan, ujian dan penapisan. Di tengah-tengah ujian ini terdapat pula kecuaian dan keterlaluan (ekstrim). Ada di antaranya yang berpendapat supaya Ikhwan menjauhkan diri dari arus pemerintahan dan politik demi memelihara diri dan dakwah dari sebarang akibat yang tidak diingini. Ada pula di antaranya yang melampau dan keterlaluan lalu menganggap semua umat Islam yang tidak menyetujui fikrah mereka adalah kafir. Walau betapa kusut dan bercelarunya kefahaman sebahagian dari manusia namun demikian, Allah s.w.t. telah menyediakan Imam As-Syahid Al-Banna untuk dakwah Islam dan mengemukakannya kepada manusia dengan jelas dan terang serta murni. 

Allah menyediakan untuk dakwah ini Imam Hassan Al-Hudhaibi rahimahullah dengan keistimewaannya yang tersendiri, dengan ketahanannya, dengan keteguhannya bersama kebenaran, lalu beliau menolak kecuaian dan keterlaluan itu. Untuk itu beliau telah menerima berbagai-bagai gangguan dan kesusahan yang dasyhat. Tetapi, beliau bersungguh-sungguh memelihara amanah dakwah di dalam kefahaman sifat dan akhlak hinggalah dia mengadap Ilahi dan kemudian beliau menyerahkannya kepada pendokong dakwah yang lain tanpa perubahan dan penukaran, berdiri dan bertahan bersama-sama dengan Ikhwan. 

"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur. Di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya)." (Al-Ahzab: 23)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan