Mutiara Hadis

Dari Abu Hurairah ’Abdurrahman bin Shakhr radhiyallohu’anhu, dia berkata: ”Aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda: ” Apa saja yang aku larang bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu maka lakukanlah sesuai kemampuanmu. Sesungguhnya kehancuran umat-umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan menyelisihi nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh).”

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

02 Januari 2013

BAB 2: Marhalah-marhalah Dakwah dan Tuntutannya

Kita berusaha sungguh-sungguh di dalam lembaran kita ini untuk mengenali jalan dakwah dan ciri-cirinya yang istimewa dan tersendiri. Ini adalah untuk penyatuan kefahaman supaya kita tidak dicerai-beraikan oleh berbagai jalan. Juga supaya kita mendapat faedah dari pengalaman-pengalaman yang telah dilalui oleh jamaah Islam yang terdahulu dan kemudiannya dihidangkan pula dengan sempurna kepada generasi baru yang muda supaya mereka mengetahui jalan dakwah dan terus memikul tugas dan amanah itu supaya pendokong dakwah Islam bercantum semula lalu mereka bersatu padu, berganding bahu dan berjalan ke satu arah dan satu tujuan. Segala kekuatan dan usaha diselaraskan dan diatur rapi sehingga terbukti pertolongan Allah dan bendera Al-Quran sentiasa berkibar-kibar di angkasa seluruh alam. Dan pada hari itulah golongan mukmin bergembira dengan pertolongan Allah.

"Dan pada hari (kemenangan bangsa Romawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman kerana pertolongan Allah (s.w.t)." (Ar-Rum: 4 – 5)

2.1 Tuntutan Marhalah Ini



Kita telah menyatakan terlebih dahulu bahawa dakwah Islam, seruan Islam pada peringkat sedunia (marhalah antarabangsa) melalui marhalah yang sangat penting, halus dan genting di dalam umurnya. la adalah satu kebangkitan setelah tersungkur, satu kesedaran setelah terlena, malah mengalami satu marhalah pembentukan dan memacakkan dasar dan asas binaan yang teguh untuk daulah Islam yang global (khilafah Islam yang merangkumi seluruh dunia) yang membawa hidayah kepada manusia yang sesat dan membangunkan satu kebudayaan yang paling besar pernah berlaku dalam sejarah setelah bankrapnya semua sistem dan cara hidup manusia.

Kita telah mengakui bahawa terdapat persamaan yang besar antara marhalah kita ini dengan marhalah pertama dakwah Islam di Mekah. Iaitu tentang asingnya dakwah Islam ditengah-tengah jahiliah yang menguasai setiap penjuru dunia, tekanan golongan kufur dengan seluruh kekuatannya ke atas mereka dan sedikitnya bilangan mukmin yang terdedah kepada penindasan yang sangat ganas dari pihak jahiliah yang berkuasa ketika itu.

Kita suka menerangkan di sini bahawa kewajipan muslimin semasa berada dalam marhalah ini tidak sama dengan kewajipan mereka semasa berada di bawah daulah Islam yang telah tertegak dan kuat. Tidak syak lagi bahawa marhalah pembentukan dan pembinaan dasar-dasar dan asas adalah sukar dan sulit. la memerlukan iman yang mendalam, kesabaran dan menyabarkan pembentukan yang rapi, halus serta teliti dan amal usaha yang berterusan tanpa kenal payah dan lelah. Betapa tidak! Kerana orang-orang mukmin yang bekerja dan berusaha ke arah itu sangat sedikit bilangannya dan lemah kekuatannya pada hal mereka menghadapi ancaman kebatilan yang maha kuat dan berkuasa malahan mereka tidak bersenjata kecuali senjata iman. Di dalam pengertian ini Imam As-Syahid Hassan Al-Banna telah berkata melalui perumpamaan yang indah dan halus: 


"Sesungguhnya pembentukan ummah, pendidikan bangsa-bangsa, merealisasikan cita-cita dan mendokong pendirian (pegangan hidup) memerlukan ummah yang berusaha ke arah itu atau dari golongan yang menyeru kepadanya. Ini sekurang-kurangnya memerlukan kekuatan jiwa yang terhimpun di dalamnya beberapa perkara: Iaitu kemahuan yang tidak mengenal lemah, kesetiaan yang tetap yang tidak disaduri oleh kepura-puraan dan khianat, pengorbanan yang banyak yang tidak dihalang oleh tamak dan haloba serta kebakhilan, dan makrifah (mengenalpasti) dasar pegangan hidup, beriman kepadanya dan menghargainya sungguh-sungguh. Semuanya itulah yang memelihara (kita) dari kesalahan dan penyelewengan daripadanya (pembentukan) dan tawar-menawar (apologetik) di atas perkara dasar dan tidak terdaya dengan yang lainnya".


Dengan kehendak dan izin Allah, kita kini hidup di masa-masa yang penting dan genting di dalam usia dakwah Islam ini dengan segala tuntutan dan cabarannya. Allah telah memudahkan kita untuk mengetahui cara-cara dan kaedah-kaedah yang sahih dan benar untuk beramal dan berusaha di dalam dakwah Islam. Kita berharap dan memohon kepada Allah supaya Dia memberi taufik dan hidayahNya kepada kita untuk mendokong amanah agung dan mulia ini, setelah ditinggalkan oleh kebanyakan manusia. Kita benar-benar berharap semoga kita layak menjadi ahli dan layak menerima pilihan itu dari Allah Taala hingga kita mampu mendokong dakwah Islam ini dengan penuh keazaman, ketangkasan dan ketegasan sekalipun tugas ini sangat besar dan berat. Lantaran itu kita menyeru kepada tiap-tiap orang yang tampil ke hadapan untuk mencapai kemuliaan amal dakwah ini dan melalui jalan dakwah supaya dia menguatkan jiwa dan menyediakannya untuk memikul segala apa yang diperlukan oleh marhalah ini, mendokong berbagai bebanan dengan penuh keazaman, ketahanan, ketetapan, penuh percaya dan harap kepada Allah Taala dan yakin sepenuhnya akan kemuliaan dan ketinggian dakwah ini dengan keagungan tujuannya. Dia yakin sungguh-sungguh bahawa dunia ini sangat-sangat memerlukan dakwah Islam yang sejati. Lebih dari itu dia yakin kepada pertolongan Allah. Inilah dia faktor-faktor kejayaan yang tidak dapat dihalang oleh apa jua rintangan.

2.2 Marhalah-Marhalah Dakwah

Setiap dakwah mestilah melalui tiga marhalah: 



1. Marhalah ad-Di'ayah (at-Ta'rif): Marhalah propaganda, memperkenalkan, menggambarkan fikrah dan menyampaikan kepada orang ramai di setiap lapisan masyarakat. 

2. Marhalah at-Takwin: Marhalah pembentukan, memilih para pendokong, menyiapkan angkatan tentera, pendakwah dan jihad serta mendidik mereka. Mereka dipilih dari golongan yang telah menyambut seruan dakwah. 

3. Marhalah Tanfiz: Marhalah pelaksanaan, beramal, berusaha untuk mencapai tujuan. 



Selalunya ketiga-tiga marhalah ini berjalan berseiring dan diselaraskan memandangkan bahawa kesatuan dan kekuatan dakwah adalah bergantung kepada percantuman di antara satu dengan seluruhnya. Oleh itu para pendokong dakwah di dalam berdakwah, mestilah memilih dan membentuk dan di waktu yang sama dia beramal dan melaksanakan apa yang boleh dilaksanakan. 

Tidak mungkin lahir ke alam nyata satu marhalah dari marhalah-marhalah itu dalam bentuk yang sempurna kecuali menurut tertib susunan itu. Tidak mungkin sempurna pembentukan ini tanpa pengenalan makrifah dan pengenalan yang sahih dan benar. Tidak mungkin lengkap satu pelaksanaan yang sempurna tanpa pembentukan dasar pendidikan yang sempurna. 

Dakwah Islam yang pertama di zaman Rasulullah s.a.w. telah melalui tiga peringkat ini. Muslimin di zaman itu telah mengenali agama mereka, terdidik dan terbentuk di madrasah Rasulullah lalu mereka bangun dan bangkit mendokong dakwah Islam dengan sebaik-baiknya. Oleh kerana itu, kita diperingatkan supaya sentiasa berwaspada dari sudut jalan manakah seseorang itu menyeru dalam usaha-usaha dan kerja-kerja Islamnya. Adakah dia memberi perhatian dan memberikan hak kepada ketiga-tiga marhalah itu. Sesungguhnya sesiapa yang tampil ke hadapan untuk melaksanakan tugas untuk dakwah dan merealisasikan cita-cita dakwah, dia mestilah mengetahui dengan sungguh-sungguh dakwah Islam. Mereka mengenali dan memahami dasar dengan pengenalan dan kefahaman yang sebenar-benarnya. Di samping itu dia mesti menjadi contoh yang benar dan baik dalam setiap lapangan hidup. Oleh kerana itu di sini kita akan cuba membentangkan bagaimanakah bentuk marhalah atau peringkat-peringkat itu dengan penerangan yang lebih luas sedikit daripada yang lalu supaya anda lebih jelas tentang perkara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan