Mutiara Hadis

Dari Abu Hurairah ’Abdurrahman bin Shakhr radhiyallohu’anhu, dia berkata: ”Aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda: ” Apa saja yang aku larang bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu maka lakukanlah sesuai kemampuanmu. Sesungguhnya kehancuran umat-umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan menyelisihi nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh).”

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

08 September 2013

BAB 3: Marhalah At-Ta'arif: Pandangan dan Penerangan

Saya telah menerangkan bahawa marhalah dakwah ini ada tiga: Pertama, Pengenalan; kedua: Pembentukan; ketiga, Pelaksanaan. Ketiga-tiga marhalah ini mempunyai tanda-tanda dan petunjuk-petunjuk yang penuh dengan sinar pengalaman dan penglibatan supaya kita dapat mengambil pengajaran dan memperolehi faedah dari pengalaman dan pengetahuan, supaya para duat, para pendokong dakwah berjalan di atas dakwah dengan pandangan yang terang, jauh dari keterlanjuran dan penyelewengan. 

3.1 Ta’rif atau Pengenalan Dakwah 

Sesungguhnya marhalah at-ta'rif atau peringkat pengenalan ini merupakan langkah awal atau titik tolak pertama di jalan dakwah. Kesahihan, kebenaran dan kesejahteraan peringkat-peringkat ini mempengaruhi peringkat yang kedua dan ketiga di dalam kesahihan dan keselamatannya. Kita akan menyentuh sebahagian dari perkara yang berhubung dengan dakwah dan beberapa perkara yang berkaitan dengan pendokong dakwah mengenai uslub dan caranya. 

3.2 Dakwah dan Kemurniaannya 

Saya telah menyatakan bagaimana pentingnya kemurniannya dakwah dari sebarang campuran dan saduran dalam kita menyampaikannya kepada manusia. Musuh-musuh Islam di sepanjang sejarahnya telah berusaha terus-menerus menyeludupkan berbagai-bagai ajaran dan fikrah sesat ke dalam Islam dengan tujuan menyesat dan memesongkannya dari mutiaranya serta mencabut jiwa dan semangatnya. Oleh kerana itu untuk memahami Islam dengan kefahaman yang murni, kita hendaklah kembali kepada Al-Quran yang sentiasa dipelihara oleh Allah, kembali semula kepada Sunnah Rasulullah yang telah dikumpul dan disaring oleh imam-imam yang mulia. Imam-imam itu telah mendapat taufik dan kemudahan dari Allah untuk berkhidmat sungguhsungguh di dalam bidang ini hingga mereka berjaya menjernihkan Sunnah Rasulullah s.a.w. dari segala penyeludupan dan segala yang asing daripadanya. Kita mestilah kembali semula mengikut kefahaman yang benar dan sejahtera seperti kefahaman salafussoleh di zaman Rasulullah s.a.w. dan khulafa' ar-rasyidin r.a. Kita telah mengakui bahawa Imam Hassan Al-Banna telah memberi perhatian yang berat dan utama tatkala beliau menetapkan kefahaman itu sebagai rukun pertama dari Rukun Bai'ah dan meletakkan usul dua puluh (Usul Isyrin) untuk fikrah ini sebagai garis umum yang lengkap seperti yang tertulis di dalam risalah Al-Ta'lim

Kita telah menerangkan bahawa Ikhwanul Muslimin dan mursyidul am mereka, Imam Hassan Al-Hudhaibi rahimahullah telah memelihara fikrah yang sejahtera dan sihat ini terhadap Islam dan memelihara dasarnya dari sebarang perubahan, penyelewengan dan pertukaran walau bagaimana hebat sekalipun tekanan dari pihak pelampau yang cuai terutama yang berkaitan dengan perkara kafir-mengkafir. Beliau telah berdiri tegak dan teguh dengan segala ketangkasan dan penuh kepastian berhadapan dengan arus yang melanda itu. Beliau menerangkan kesalahan syar'i yang ada pada kedua pihak itu dan menyatakan bahawa kita semua adalah pendokong dakwah, bukan golongan qadhi (penghukum). Apabila realiti kehidupan muslim pada hari ini jauh terpesong dari ajaran Islam, jauh dari perundangan dan syariatnya, maka hendaklah para pekerja di bidang dakwah Islam melipat gandakan usaha dan kesungguhan mereka untuk menarik kembali tangan mereka, membangunkan mereka dan menolong mereka dalam memahami Islam, bukan hanya mengkafirkan mereka. Kerana ini akan hanya membina berbagai tabir dan dinding di antara kita dengan mereka. Jika berlaku demikian, kita sendirilah sebenarnya yang memecah dan merosakkan dakwah yang kita sendiri usahakan dengan tangan kita lantas dengan itu tidak secara langsung kita menutup diri kita dan berjalan di atas jalan mati. Akhirnya kita akan berubah menjadi kumpulan yang terasing di dalam sejarah. Beliau telah menerangkan bahawa fikrah seperti itu bukan fikrah jamaah Al-Ikhwan yang kita berbai'ah padanya dan tiada siapa yang berhak mangaku bahawa ia adalah fikrah jamaah kerana satu jamaah tidak mungkin menganut dua fikrah yang saling bertentangan. 

3.3 Syumul Ad-Dakwah dan Sempurna Menyempurnakan 

Apabila menyampaikan dakwah dan peringatan, kita wajiblah mengemukakan kesyumulannya dengan selengkapnya, dengan seutuhnya dan dengan segala kesempurnaannya yang sempurna dan menyempurnakan tanpa memisahkan sebahagian dari keseluruhannya atau memansuhkan sebahagian daripadanya kerana sesungguhnya Islam itu adalah penutup segala agama. 

Satu agama yang istimewa, syumul, lengkap, sempurna menyempurnakan yang meliputi setiap kegiatan dan lapangan kehidupan manusia duniawi dan ukhrawi di dalam keselarasan dan keharmonian yang ajaib dan unik. Ini tidak lain dan tidak bukan kerana ia adalah ciptaan Al-Khaliq (Pencipta) Yang Maha Mengetahui (Al-Khabir) serta Maha Pengasih dan Penyayang kepada makhluk dan hamba-hambaNya. Islamlah yang merealisasikan kesejahteraan dan ketenteraman di dalam jiwa manusia selagi mereka beriman kepada Allah dan mengesakanNya. Islam memberikan kepada mereka keselamatan dan keamanan serta kehidupan yang baik di dunia dengan syarat mereka mematuhi segala ajaran dan syariatNya, memberikan kebahagiaan dan keselamatan di negeri Islam serta syurga di sisi Tuhan mereka. 

Kehidupan manusia melambangkan satu kesatuan yang sempurna lagi menyempurnakan di antara sebahagian dengan sebahagian yang lain dan Islam pula datang sebagai satu kesatuan yang sempurna, yang saling sempurna menyempurnakan di antara satu bahagian dengan seluruh bahagian yang lain. Kehidupan tidak mungkin mendatangkan kebaikan apabila Islam menguasai sebahagian dari hidup manusia dan membiarkan sebahagian yang lain untuk dikuasai oleh ideologi-ideologi ciptaan manusia atau falsafah-falsafah yang direka oleh manusia. Justeru, Islam mestilah dikemukakan dengan selengkap dan seutuhnya tanpa dipecah-pecahkan menjadi beberapa juzuk di sana dan di sini dan mesti dilaksanakan sepenuhnya tanpa pemecahan di mana yang dilaksanakan hanya sebahagian dan sebahagiannya lagi di tinggalkan. 

Oleh itu kita dapati Imam As-Syahid Hassan Al-Banna memberi pengertian itu dalam dasar pertama dari "Rukun Fiqh" lalu beliau berkata: 

"Islam itu satu nizam, satu sistem hidup yang lengkap, syumul dan merangkumi setiap realiti kehidupan. Jadi Islam itu adalah daulah dan tanahair atau pemerintahan dan ummah. la adalah akhlak dan kekuatan serta rahmah dan keadilan, ia adalah kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Ia adalah harta benda atau usaha dan kebudayaan. Ia adalah jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah sebagaimana ia sebagai akidah dan ibadah". 

Salah satu kewajipan kita adalah mengingatkan bagaimana besarnya dosa yang dibuat terhadap Islam oleh satu puak yang tampil ke hadapan kononnya hendak bekerja di bidang dakwah Islam. Tetapi sayangnya mereka hanya mengemukakan hanya sebahagian dari Islam dan melupakan sebahagian yang lain dengan sengaja ataupun tidak, sama ada kerana jahil dengan tabiat Islam atau kerana mengelakkan tentangan dari pihak jahiliah yang berkuasa atau dengan niat jahat. Ini semua dilakukan oleh jamaah yang menjadi boneka musuh-musuh Islam. Kita mestilah menyatakan dan menerangkan kesalahan dan juga bahayanya cara tersebut supaya para pemuda kita yang punya keghairahan dan semangat keagamaan tidak akan terdorong untuk mengikut jalan sepert itu. Ini hanya akan memudaratkan mereka-mereka yang mahu membawa manfaat (dakwah).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan