Mutiara Hadis

Dari Abu Hurairah ’Abdurrahman bin Shakhr radhiyallohu’anhu, dia berkata: ”Aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda: ” Apa saja yang aku larang bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu maka lakukanlah sesuai kemampuanmu. Sesungguhnya kehancuran umat-umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan menyelisihi nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh).”

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

03 Ogos 2010

Sejarah Kelahiran Aliran Aqidah



Oleh: Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang


Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah golongan yang berpegang teguh pada al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad serta orang-orang yang mengikut jejak langkah mereka. Generasi paling awal dan utama dalam kalangan mereka adalah para sahabat, kemudian diikuti oleh para tabi’in dan orang-orang yang menurut jejak langkah mereka.

Generasi pertama di kalangan mereka dikenali dengan nama Salaf. Mereka berpandukan al-Quran dan sunnah tanpa menghuraikan kenyataan yang samar (mutashabihat) dan menyerah maksudnya kepada Allah.Ini berpandukan kepada kenyataan Allah dalam surah Ali Imran, ayat 7, Dia lah yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran. sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang yang ada Dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya Dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

Pada zaman awal, mereka tidak banyak berhujah menggunakan logik kerana mereka bersikap menerima tanpa perlu banyak berhujah tentang apa sahaja yang dinyatakan dalam al-Quran, sunnah dan para sarjana Islam, sahabat dan tabi’in.

Mereka itu terdiri daripada pelbagai bidang kegiatan. Ada yang bergiat dengan mendalami ilmu agama dalam berbagai-bagai bidang, seperti akidah yang berkaitan dengan perkara-perkara beriman kepada Allah, perkara-perkara kenabian dan risalah, dan rukun-rukun iman yang lain, mendalami ilmu al-Quran dan sunnah, ilmu fikah dan akhlak. Ada pula yang memberi perhatian khusus dengan merekod sanad iaitu turutan penyampai yang dipercayai daripada Nabi Muhammad bagi menjamin keselamatannya daripada kepalsuan. Ada yang mendalami ilmu qiraat. Ada vang sibuk dengan perkara-perkara membersihkan hati dan jalan untuk menghampirkan diri kepada Allah yang dikenali dengan golongan tasauf. Ada yang menghabiskan umur berjihad di medan perang mempertahankan Islam dan memerangai musuh-musuhnya. Ada yang sibuk dengan ilmu-ilmu bahasa Arab seperti nahu (tatabahasa), sorof, balaghah, sastera dan sebagainya yang menjadi alat penting bagi mempelajari agama dengan bahasanya. Dan ada pula yang sibuk dengan urusan-urusan lain tetapi mereka adalah pengikut setia kepada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Dalam perkara pemerintahan mereka bersepakat menegaskan wajibnya melantik khalifah sebagai memimpin umat dan melaksanakan hukum Allah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad semasa hayatnya. Mereka juga berpendapat khalifah itu daripada kalangan Quraish kerana golongan itu paling kuat dan berpengaruh pada masa itu. Khalifah itu mesti melafazkan bai‘ah iaitu ikrar setia dalam perkara yang tidak bercanggah dengan Allah dan rasulnya. Lafaz ikrar setia ini dilakukan oleh umat Islam atau wakil mereka yang dinamakan Ahlu Halli wal Aqdi. Mereka berpendapat, mesyuarat dianjurkan dalam perkara yang tidak ada nas daripada al-Quran dan hadis. Jadi, khalifah, Ahlu Halli wal Aqdi dan mereka yang mengendalikan urusan negara itu mesti adil daripada pengaruh peribadi mengendalikan urusan negara. Rujukan yang menjadi ukuran adil itu adalah kitab Allah dan sunnah Nabi Muhammad.

Mengenai para sahabat, mereka menjunjung tinggi semuanya, mengakui keempat-empat khalifah ar-Rasyidin adalah orang yang paling layak pada zaman masing-masing. Mereka memohon supaya Allah mengampuni para sahabat dalam pertelingkahan dan peperangan yang berlaku di kalangan mereka. Ini kerana jasa mereka besar bagi menegakkan kalimah Allah walaupun di antara mereka sudah tentu ada yang tersalah dalam pertelingkahan itu. Inilah yang disifatkan oleh Allah dalam al-Quran surah al- Hasyr, ayat 10,

Dan orang-orang yang datang kemudian daripada mereka berkata, “Wahai Tuhan kami! Ampuni kami dan saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah engkau menjadikan dalam hati kami perasaan hasad dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya engkau amat limpah belas kasihmu dan maha penyayang.

Generasi pertama ini tidak menamakan diri mereka dengan nama-nama fahaman tertentu. Ini kerana umat Islam pada masa itu bersatu daripada segi hidupnya, para sahabat yang masih hidup menjadi tumpuan bagi bertanya masalah. Amalan ini juga berlaku pada zaman para tabi’in. Mereka bukan sahaja tidak mentakwilkan ayat-ayat mutasyabihat, sebaliknya menyandarkan apa yang dinyatakan oleh Allah dan Nabi Muhammad tanpa sebarang tokok tambah dan menghuraikan secara meleret-meleret.

Kesemua imam mazhab yang terkenal seperti Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad bin Hanbal, Sufian as-Sauri dan lain-lain berpegang dengan aliran salaf ini.

Sejarah Kemunculan Mazhab Al-Asyairah

Apabila negara Islam berkembang luas, berlaku perbincangan antara saudara-saudara baru mengenai agama. Antara topik yang terpenting adalah membicarakan masalah akidah. Hasil daripada beberapa perbincangan, lahir berbagai-bagai fahaman yang berpandukan logik. Akibatnya, ada yang terpesong dalam memahami teks al-Quran yang sebenar. Walau apapun berlaku, Allah berjanji memelihara agamanya dengan melahirkan sarjana yang mempertahankan akidah yang tulen. Antara sarjana-sarjana itu adalah Imam Abu Hasan al-Asy’ari.


Abu Hasan al-Asy’ari dilahirkan di Basrah pada tahun 260 Hijrah. Beliau pernah berpegang pada fahaman Muktazilah dan berguru kepada ayah tirinya Abu Ali aljubbai. Selepas berusia 40 tahun, beliau berfikiran matang dan tekun mengkaji secara mendalam. Pada suatu hari, beliau berdebat dengan ayah tirinya dalam mengenai kehidupan selepas mati. Selepas berdebat dengan ayah tiri beliau, Abu Hasan al-Asy” ari bangun berucap di Masjid Basrah lalu mengisytiharkan dirinya keluar daripada fahaman Muktazilah dan berpegang pada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Abu Hasan al-Asy’ari membuat pembaharuan dalam aliran Ahli Sunnah dengan mengemukakan hujah-hujah logik akal serta teks-teks al-Quran dan hadis yang ada. Hujah-hujah yang dikumpulkan cukup kuat bagi mematahkan hujah Muktazilah yang pesat berkembang pada masa itu. Beliau berjaya mengumpulkan ramai murid dan pengikut. Kemudian, lahir golongan Ahli Sunnah wal Jamaah dikenali sebagai Asya’irah iaitu golongan pengikut fahaman Abu Hasan al Asy’ari.

Antara teori Abu Hasan al Asy'ari adalah mengemukakan 13 sifat yang wajib bagi Allah secara terperinci iaitu:

1. Ada
2. Bersedia
3. Kekal
4. Berlawanan dengan sesuatu yang baru
5. Berdiri dengan sendirinya
6. Satu
7. Berkuasa
8. Berkehendak
9. Mengetahui
lO.Hidup
11. Mendengar
12.Melihat
13.Berkata-kata

Beliau juga menghuraikan perkara taklid iaitu mengambil pendapat orang lain tanpa hujah yang menguatkannya ataupun tidak dalam perkara yang berkaitan dengan sifat-sifat itu. Beliau menghuraikan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kepercayaan pada rukun-rukun iman. Aliran Asya’irah ini berkembang dengan pesatnya di Iraq. Kemudian, ia berkembang di Mesir pada zaman Salahuddin al- Ayubi, di Syiria dengan sokongan Nuruddin Zanki, di Maghribi dengan sokongan Abdullah bin Muhammad, di Turki dengan sokongan Uthmaniah dan di daerah-daerah yang lain.

Ideologi ini juga didokong oleh sarjana-sarjana di kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Antara mereka adalah al-Asfaraini, al -Qafal, aljarjani dan lain-lain sehingga sekarang. Pembaharuan yang dibawa oleh Abu Hasan al-Asy’ ari adalah dengan mengemukakan hujah logik dengan disertakan hujah teks al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Hujah-hujah ini membawa kekuatan kepada Ahli Sunnah wal Jamaah bagi menghadapi hujah golongan Muktazilah yang pesat berkembang dan mendapat sokongan daripada pemerintah-pemerintah kerajaan Abbasiah. Akhirnya, golongan Muktazilah bukan sahaja dibendung dengan hujah, tetapi kerajaan yang ditubuh kemudiannya memberi sumbangan politik yang besar bagi mempertahankan dan mengembangkan fahaman Asya’ irah.

Di samping itu, lahir tokoh sarjana Islam yang menyambung aliran fahaman ini seperti Abu Abdullah bin Mujahid, Abu Hasan al-Bahili, Abu Bakar bin al-Taib al Bakilani, Abu Bakar bin Furak, Abu Ishak al-Asfiraini, Abu Muhammad aljuwaini, Abu Mazfir al-Asfaraini, Imam al-Haramain aljuwaini, Hujah Islam Imam al-Ghazali, dan Imam Fakruddin al-Razi. Imam Abu Hasan al-Asy’ari juga meninggalkan beberapa buku yang dikarangnya dan yang masih ada pada zaman sekarang antaranya Al-Ibanah Min Uslul Diniati. Dalam buku ini, beliau menyokong dengan tegas kepada Imam Ahmad bin Hanbal yang dipenjara dan didera oleh kerajaan Abbasiah yang menyokong Muktazilah pada zamannya. Begitu juga dalam buku AJ-Luma ‘ Fir Raddi ‘Ala Ahlil Zaighi wal Bid ‘i beliau mendedahkan hujah logik dan teks. Buku Maqalatul Islamiyiin mendedahkan fahaman-fahaman yang timbul dalam ilmu Kalam dan menjadi rujukan penting dalam pengajian fahaman-fahaman akidah.Buku Istihsan al-Khaudhi Fil Ilmu Kalam pula adalah risalah kecil bagi menolak hujah mereka yang mengharamkan ilmu Kalam.

Walaupun ada di kalangan sarjana Islam terutamanya di kalangan mazhab Hanbali yang menyanggah beberapa hujah dan kaedah yang dibawa oleh Abu Hasan Asy’ ari, ia tidak menafikan jasanya mempertahankan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Fahaman beliau berjaya mematikan hujah-hujah Muktazilah yang terpesong jauh iaitu membicarakan al-Quran sebagai kata-kata Allah yang kekal, isu melihat Allah pada hari Kiamat, membetulkan perkara yang berhubung dengan Qadak dan Qadar dan lain-lain dan menjadi golongan pertama yang menamakan Ahli Sunnah Wal Jamaah di tengah-tengah kelahiran pelbagai fahaman pada zamannya.

Imam Abu Hasan Asy’ari meninggal dunia pada tahun 324 Hijrah dengan meninggalkan pusaka ilmu yang terdiri daripada buku-buku karangan beliau serta murid-murid yang meneruskan perjuangannya. Akhirnya, ia meninggalkan aliran pengajian akidah yang dianuti oleh sebahagian besar umat Islam hari ini dalam melanda cabaran-cabaran baru yang tidak ada pada zamannya. Seterusnya aliran ini memerlukan pembaharuan lagi dalam mengemukakan hujah-hujah kontemporari bagi mempertahankan akidah yang sebenar.

Kuliah Jumaat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
20 Oktober 2006

Tiada ulasan:

Catat Ulasan