Mutiara Hadis

Dari Abu Hurairah ’Abdurrahman bin Shakhr radhiyallohu’anhu, dia berkata: ”Aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda: ” Apa saja yang aku larang bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu maka lakukanlah sesuai kemampuanmu. Sesungguhnya kehancuran umat-umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan menyelisihi nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh).”

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

18 Julai 2010

Rahsia Kemenangan Tentera Islam

Kita lihat bagaimana 40000 orang tentera Islam di bawah pimpinan Khalid ibnu Walid telah berjaya menghancurkan 240000 tentera Rom di Syria dalam Peperangan Yarmouk yang terkenal. Walaupun kerajaan Rom mendatangkan bala tentera yang berlipat ganda lebih ramai dan peralatan senjata yang jauh lebih lengkap, namun tentera Islam dalam keadaan yang paling sederhana masih berupaya menumpaskan tentera musuh.


(Dipetik dari filem Kingdom of Heaven)

Ini adalah salah satu dari deretan peperangan yang pernah dilalui oleh umat Islam yang telah mengkagumkan pakar-pakar ketenteraan bukan Islam. Mereka kagum apabila melihat bagaimana umat Islam masih mampu mencapai kemenangan yang gemilang sedangkan bilangan tentera, kelengkapan senjata dan kekuatan musuh jauh lebih baik dari apa yang tentera Islam ada.

Dimanakah letaknya rahsia kekuatan dan kemenangan umat Islam? Kekuatan mereka terbina tidak lain adalah dari kekuatan Iman yang ada dalam dada-dada mereka di mana mereka bersedia mematuhi apa sahaja yang diajarkan oleh Allah SWT dan RasulNya. Mereka hanya meng'abdikan diri kepada Allah di mana mereka penuh yakin bahawa kekuatan yang sebenar itu adalah pada Allah. Mereka menggantungkan sepenuh harapan kepada bantuan dan pertolongan Allah kerana kepadaNyalah, mereka menyerahkan jiwa raga dan segala urusan mereka.

Di samping itu umat Islam tidak pernah lupa bagi melaksanakan perintah Allah SWT dalam membina kekuatan zahiriah seperti peralatan senjata dan pasukan berkuda yang tangkas.

Firman Allah Ta'ala:


Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; tetapi Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu infakkan di jalan Allah niscaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dizalimi.
(Surah al-Anfal: Ayat: 60)

Di zaman pemerintahan Saidina Umar RA, pemimpin tentera Islam, Sa'ad bin Abi Waqqas RA telah menghantar satu perutusan yang diketuai oleh Rubi'iy bin Amir untuk menemui Rustam yang menjadi panglima tentera Parsi. Apabila Panglima Rustam bertanya tentang kedatangan tentera Islam ke wilayah Parsi, Rubi'iy menjawab:

"Allah mengutuskan kami untuk mengajak sesiapa yang mahu di kalangan kamu daripada meng'abdikan diri terhadap sesama makhluk kepada meng'abdikan diri kepada Allah, daripada agama zalim kepada keadilan Islam dan daripada dunia yang sempit kepada dunia yang lapang"



Diatas kekuatan 'aqidah inilah letaknya rahsia kekuatan dan kemenangan tentera Islam dalam menyampaikan risalah agama mereka ke serata dunia. Apabila Saidina Umar RA mengutuskan tentera Islam untuk menghadapi musuh-musuh Allah, beliau berpesan kepada Sa'ad bin Abi Waqqas RA:

"Wahai Sa'ad! Aku berpesan kepada kamu agar bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya kamu diberi kemenangan oleh Allah kerana maksiat yang dilakukan oleh musuh. Sekiranya kamu melakukan maksiat seperti musuh, sedang bilangan kamu tidak sama seperti mereka, kamu akan dikalahkan oleh musuh. Ketika itu kekuatan zahiriyyah yang menentukan kemenangan. Hendaklah kamu yakin bahawa kemenangan ini terletak di atas pertolongan Allah"

Inilah rahsia kekuatan tentera-tentera Islam, termasuk tentera pimpinan Khalid ibnu Walid yang menggerakkan hanya 40000 tenteranya yang bertaqwa dan menumpaskan 240000 tentera Rom yang tidak bermoral. Apabila tentera Islam telah berjaya mengalahkan Rom yang berlipat ganda besarnya sehingga menumbangkan Kerajaan Rom Timur yang berpusat di Syria, Maharaja Rom menghantar perisik untuk mengintip rahsia kekuatan umat Islam. Apabila perisik-perisik itu kembali, mereka menerangkan sifat-sifat tentera Islam:

"Di malam hari mereka adalah ahli-ahli ibadat yang tekun beribadat kepada Allah, dan di siang hari mereka menjadi pahlawan-pahlawan yang gagah berani menegakkan kebenaran yang mereka yakini. Jikalau anak raja mereka mencuri nescaya dipotong tangannya"

Setelah Maharaja Rom mendengar laporan itu, dengan penuh terharu beliau berkata:

"Selamat sejahteralah wahai bumi Syria! Selamat sejahteralah negeri yang tiada harapan untuk kami berkuasa lagi"

Sesungguhnya generasi yang membina kekuatan iman yang membawa kemenangan Islam adalah mereka yang berpegang teguh dengan hukum Allah dan hanya menerima didikan dan pimpinan Rasulullah. Mereka tidak mahu menerima sebarang hukum dan undang-undang yang lain dari apa yang disampaikan oleh Allah dan RasulNya. Mereka hanya menghayati fahaman dan sistem hidup Islam dalam seluruh bentuk kehidupan mereka.

Di atas kekuatan dasar inilah umat Islam menjadi kuasa besar dunia, setelah mereka berjaya menghancur leburkan Empayar Rom dan Parsi. Kemaraan umat Islam bagi menyebarkan risalah Ilahi adalah dengan membawa Iman yang kental, peng'abdian diri sepenuhnya kepada Allah dan berpegang teguh kepada ajaran Islam. Inilah punca yang menyebabkan umat Islam tidak dapat dikalahkan oleh mana-mana kuasa dunia di sepanjang zaman kegemilangannya.

Wallahu 'alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan